JPA peraku 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM 


Gambar hiasan / Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Julai – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperakukan pewujudan 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan implikasi kewangan RM6.7 bilion bagi memperkukuh sistem kesihatan awam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPA memperakukan 53,516 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi fasiliti baharu dan naik taraf, implikasi kewangan RM4.5 bilion.
  • Kerajaan meluluskan 12,796 jawatan tetap untuk Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi, impak kewangan RM2.2 bilion sejak 2022.
  • JPA bersama Kementerian Kewangan meneliti permohonan 13,000 jawatan baharu untuk 256 fasiliti, anggaran implikasi kewangan RM1.25 bilion.
  • Cabaran utama kini pengagihan, penempatan dan penggunaan optimum sumber manusia, wujud jurang taburan Pegawai Perubatan antara negeri dan wilayah.

JPA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan telah memperakukan pewujudan 53,516 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi menyokong pengoperasian fasiliti kesihatan baharu, projek naik taraf fasiliti sedia ada serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat membabitkan impikasi kewangan RM4.5 bilion.

Selain itu, kerajaan turut meluluskan pewujudan 12,796 jawatan tetap bagi tiga skim utama KKM iaitu Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi mulai 2022 sehingga 30 Jun lepas dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.2 bilion.

Menurut kenyataan itu, JPA bersama Kementerian Kewangan sedang meneliti permohonan pewujudan 13,000 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi menyokong pengoperasian 256 fasiliti kesihatan baharu dan yang dinaik taraf, dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM1.25 bilion.

“Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa usaha memperkukuh sistem kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

“Pewujudan jawatan baharu, pengukuhan laluan kerjaya petugas kesihatan serta pembangunan fasiliti kesihatan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” menurut kenyataan itu.

JPA memaklumkan berdasarkan Petunjuk Kesihatan Malaysia 2025 yang diterbitkan KKM, nisbah Pegawai Perubatan kepada penduduk di peringkat nasional kini berada pada sekitar 1:403, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan bagi 2026.

“Bagaimanapun, pencapaian tersebut tidak bermaksud semua fasiliti kesihatan mempunyai kapasiti sumber manusia yang sama.

“Terdapat perbezaan yang ketara dalam taburan Pegawai Perubatan antara negeri dan wilayah. Sebagai contoh, nisbah Pegawai Perubatan kepada penduduk di Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah sekitar 1:19, jauh melebihi purata nasional,” menurut kenyataan itu.

JPA memaklumkan yang statistik ini menunjukkan bahawa cabaran semasa bukan lagi semata-mata berkaitan pewujudan jawatan baharu.

“Sebaliknya, cabaran kini tertumpu kepada aspek pengagihan, penempatan dan penggunaan sumber manusia secara optimum supaya setiap hospital dan fasiliti kesihatan mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” menurut JPA. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.