JAS Selangor perkukuh usaha tangani perubahan iklim

Datuk Wandi Yadzid Yaakob

KUALA LANGAT, 18 Julai – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor terus memperkukuh usaha menangani perubahan iklim menerusi penguatkuasaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan berkala pelepasan asap cerobong industri bagi memastikan pematuhan had yang ditetapkan.
  • Penguatkuasaan berterusan terhadap pelepasan asap kenderaan bermotor.
  • Pemeriksaan penggunaan bahan refrigeran di bawah Protokol Montreal untuk pengurangan ODS.
  • Program kesedaran awam dan penanaman pokok bakau sebagai benteng semula jadi mengekalkan keseimbangan iklim.

Pengarah Alam Sekitar Negeri Selangor, Datuk Wandi Yadzid Yaakob berkata, antara tindakan utama yang dilaksanakan ialah pemeriksaan pelepasan emisi atau asap cerobong industri bagi memastikan setiap pelepasan mematuhi piawaian ditetapkan.

“Antara langkah yang dijalankan JAS, selain meningkatkan kesedaran orang awam, ialah melaksanakan pemeriksaan pelepasan emisi daripada cerobong sektor perindustrian bagi memastikan semua pelepasan mematuhi had yang ditetapkan di bawah peraturan berkaitan.

“Program ini dilaksanakan secara berkala dari semasa ke semasa. Selain itu, kita turut menjalankan penguatkuasaan terhadap pelepasan asap kenderaan bermotor secara berterusan.

“Pada masa sama, kita melaksanakan pemeriksaan penggunaan bahan refrigeran bawah Protokol Montreal bagi memastikan penggunaan bahan pemusnah ozon (ODS) dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2026 di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, di sini.

Sambutan itu turut menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif.

Antaranya program penanaman pokok bakau yang dipilih sebagai salah satu pengisian utama kerana peranannya sebagai benteng semula jadi kawasan pesisir pantai, selain membantu menyerap karbon dan mengekalkan keseimbangan iklim.

Tindakan berterusan itu menunjukkan tahap ketidakpatuhan semakin berkurangan, sekali gus membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dan memelihara kualiti alam sekitar di Selangor.

Pada masa sama usaha memelihara alam sekitar memerlukan rasa tanggungjawab bersama daripada semua pihak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.