Kertas cadangan polisi belia fokus empat teras, perkasa ekonomi generasi muda

Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana, Fanitsyara Kam Phon/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Julai Aspek pendigitalan, teknologi hijau, pembangunan bakat serta sosial akan menjadi empat teras utama dalam kertas cadangan polisi belia bagi menilai keperluan dan bentuk sokongan yang diperlukan generasi muda dalam landskap ekonomi semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kertas cadangan mengemukakan penyelesaian memperkasa ekonomi belia dan membentuk dasar yang lebih praktikal serta relevan.
  • Akses maklumat dan peluang terhad menyekat penyertaan belia dalam teknologi hijau; mereka memerlukan sokongan pengetahuan dan peluang.
  • Manfaatkan AI melalui pendedahan, latihan dan pengukuhan kemahiran untuk meningkatkan penglibatan belia; kertas akan dibentangkan di YEF 2026.

Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana (PFAA), Fanitsyara Kam Phon berkata, kertas cadangan itu akan mengemukakan penyelesaian bagi memperkasa ekonomi belia, selain menyumbang kepada pembentukan dasar yang lebih praktikal dan relevan.

“Berdasarkan input yang kita peroleh, khususnya dalam sektor teknologi hijau, ramai belia sebenarnya mahu terlibat dalam teknologi hijau dan menjadi sebahagian daripada projek-projek hijau. Namun, akses kepada maklumat serta sokongan bukan sahaja dari segi pengetahuan, malah peluang-peluang yang tersedia masih agak terhad.

“Saya rasa inilah antara halangan utama yang menyukarkan belia untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem dan agen transformasi. Mereka memerlukan bantuan,” katanya selepas Persidangan Meja Bulat Ekonomi Belia Negara 2026, di sini hari ini.

Mengulas mengenai cabaran penggunaan kecerdasan buatan (AI), katanya teknologi tersebut mampu dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya golongan belia diberi pendedahan kepada peluang, latihan serta kemahiran yang lebih meluas.

Jelas beliau, usaha itu penting bagi meningkatkan penyertaan golongan muda dalam ekosistem digital negara.

Menurutnya, kertas itu akan dibentangkan pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2026 yang akan berlangsung pada 3 Oktober ini, sebelum diserahkan kepada kerajaan sebagai cadangan bagi memperkukuh dasar serta agenda pembangunan ekonomi negara.

YEF 2026 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tujuan untuk membincangkan idea serta merangka penyelesaian yang mampu memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia.

Forum berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 2,500 peserta serta penglibatan rakan strategik daripada sektor kerajaan, korporat, persatuan belia dan pelbagai organisasi lain sekali gus menjadikannya edisi terbesar sepanjang sedekad penganjurannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.