Syamsul Farizz Nadzeri dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu ECERDC

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir / Foto FB Kementerian Ekonomi

PUTRAJAYA, 18 Julai – Kementerian Ekonomi mengumumkan pelantikan Syamsul Farizz Nadzeri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), berkuat kuasa serta-merta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan ECER 2026-2030 fokus pada pembangunan mampan, inklusif dan berdaya saing untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi wilayah.
  • Kepimpinan baharu dijangka mempercepat projek pemangkin, menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dan swasta.
  • Beliau membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam hartanah, infrastruktur, pelaburan dan pengurusan projek berskala besar.

Pelantikan itu dibuat bertepatan dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan mampan, inklusif dan berdaya saing bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah berkenaan.

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kepimpinan baharu ECERDC dijangka mempercepat pelaksanaan projek-projek pemangkin, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Katanya, pelantikan itu dibuat pada fasa penting pelaksanaan agenda pembangunan ECER bagi memastikan setiap pelaburan dan projek yang dirancang memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi wilayah.

Syamsul Farizz mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang hartanah, infrastruktur, pelaburan dan pengurusan projek berskala besar.

Sebelum menyertai ECERDC, beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan di Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan PROLINTAS, selain pernah berkhidmat di Prasarana Malaysia Berhad.

Beliau menggantikan Datuk Baidzawi Che Mat yang menerajui ECERDC sejak Mac 2019.

ECERDC merupakan agensi yang bertanggungjawab menyelaras pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Agensi itu berperanan merancang serta melaksanakan inisiatif pembangunan bagi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di wilayah berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.