Polis selamatkan mangsa culik tebusan RM7 juta, enam individu ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayaah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan seorang mangsa culik dalam tempoh kurang 48 jam selepas menerima laporan kejadian, seterusnya menahan enam individu yang dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi khas dijalankan oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Selangor selepas laporan isteri mangsa pukul 1.30 pagi.
  • Mangsa diselamatkan di sebuah unit kediaman sekitar i-City, Shah Alam kira-kira pukul 1 pagi.
  • Polis merampas dadah, beberapa telefon bimbit dan kenderaan; suspek direman 10 hari dan kes disiasat di bawah Akta Penculikan 1961.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Selangor segera menjalankan operasi khas setelah menerima laporan penculikan tersebut pada 1.30 pagi semalam daripada isteri mangsa.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menyelamatkan mangsa kira-kira pukul 1 pagi tadi di sebuah unit kediaman di sekitar i-City, Shah Alam, Selangor.

“Dalam operasi sama, polis menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah, beberapa telefon bimbit serta beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu menculik untuk wang tebusan, dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara minimum 30 tahun dan boleh sehingga 40 tahun termasuk sebatan.

Kesemua suspek telah direman selama 10 hari bermula hari ini, mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 bagi membantu siasatan.

Siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang mempunyai kaitan dengan kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.