SPRM siasat kerugian RM200 juta KWAP dalam eFishery

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM200 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan siasatan Ibu Pejabat SPRM dibentuk pada 17 Julai untuk mengkaji isu secara menyeluruh.
  • SPRM menegaskan siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama mengikut peruntukan undang-undang.
  • Ketua Pesuruhjaya meminta orang ramai tidak membuat spekulasi bagi elakkan kekeliruan dan pelihara integriti siasatan.
  • MOF mengesahkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang; konsortium pelabur ambil tindakan undang-undang dan semak tatakelola.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dalam kenyataan memaklumkan, pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk pada 17 Julai bagi mengkaji dan meneliti isu tersebut secara menyeluruh.

“SPRM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Datuk Seri Abd Halim meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan itu bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti proses siasatan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dalam pelaburan berkenaan susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat Indonesia itu.

Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas termasuk memulakan tindakan undang-undang, meneruskan usaha mendapatkan semula dana, menjalankan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.

Media sebelum ini melaporkan eFishery sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan sehingga hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada jumlah sebenar.

Menurut DealStreetAsia, KWAP melabur kira-kira AS$47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery pada 2023.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.