PRN Negeri Sembilan: 103 calon bertanding melibatkan 36 kerusi DUN

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun (tengah) ketika sidang media pada penamaan calon sempena PRN Negeri Sembilan ke-16/ BERNAMA

SEREMBAN, 18 Julai – Seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 selepas proses penamaan calon yang berlangsung serentak di lapan Pusat Penamaan Calon hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PH 36 calon, BN 25, BERSATU 24, PN 11; BERJASA, ASLI, PSM masing-masing satu, dan empat calon Bebas.
  • 21 DUN tiga penjuru, 11 DUN dua penjuru, serta dua DUN empat dan dua DUN lima penjuru.
  • Kempen bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam 31 Julai 2026; pengundian 1 Ogos 2026; SPR tubuh 36 pasukan penguat kuasa.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun, daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) meletakkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) seramai 11 calon.

Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon, manakala empat calon Bebas turut bertanding.

Beliau berkata sebanyak 21 DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 11 DUN dua penjuru, manakala masing-masing dua DUN melibatkan pertandingan empat dan lima penjuru. Daripada keseluruhan calon, 94 ialah lelaki dan sembilan wanita.

Calon tertua ialah Abd Latif A Tambi, 70 tahun, yang bertanding di DUN Gemencheh mewakili PH, manakala calon termuda ialah Leevineshwaraan Murugan, 23 tahun, yang bertanding di DUN Sri Tanjung mewakili BERSATU.

“Jumlah keseluruhan 103. Secara keseluruhannya, bilangan pertandingan mengikut penjuru adalah seperti berikut. Dua penjuru 11 kerusi, 3 penjuru 21, 4 penjuru 2 dan 5 penjuru 2.

“Dengan selesainya proses penamaan calon tersebut, maka tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya yang ditandingkan oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam 31 Julai 2026”, katanya ketika sidang media pada penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini di Wisma Persekutuan Seremban.

Tempoh berkempen bermula sejurus selepas pengisytiharan calon hari ini dan akan berakhir pada 11.59 malam, 31 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026.

SPR turut menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau perjalanan kempen sepanjang tempoh tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.