fb fb fb fb fb

Liga Super: NSFC akur kehebatan Kuching City, tewas 1-4

Foto FB MFL

SEREMBAN, 18 Disember- Hasrat Negeri Sembilan FC untuk menamatkan perlawanan akhir aksi Liga Super dengan keputusan baik, musnah apabila tewas berdepan Kuching City FC 1-4 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ketua jurulatih NSFC, K.Devan berkata beliau bagaimanapun memuji barisan kesebelasan yang diturunkan sepanjang musim ini, meski pasukan itu berdepan pelbagai halangan dan rintangan.

"Secara keseluruhan, musim ini banyak halangan dan rintangan termasuk kita juga kekurangan pemain import. Ia bukan satu laluan yang mudah.

Para pemain telah beri sepenuh komitmen dan fokus, meski dalam serba kekurangan. Saya rasa ia pencapaian yang setara dan berbaloi dengan peruntukan yang kita terima," kata K. Devan kepada pemberita selepas perlawanan.

Aksi akhir itu menampilkan hampir 100% pemain tempatan, dengan penyerang, Mohamad Shahrel Fikri Md Fauzi mencetak gol pertama seawal minit ke-4.

Namun, kelebihan itu gagal bertahan lama selepas Bruno Dybal menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama, disusuli gol tanduk Yuri Tanigawa.

Masuk babak kedua, Kuching City yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak terus berpesta gol dengan jaringan tambahan Pedro Henrique pada minit ke-55.

Keputusan kekal 1-4, hingga tamat perlawanan.

"Alhamdulillah, syukur untuk perlawanan malam ini. Saya rasa Negeri Sembilan memberikan saingan yang baik dan berintensiti tinggi.

Awal permainan kita sedikit leka, dihukum seawal minit ke-4 namun kita kembali dan memenanginya. Saya harap Kuching City FC akan buat lebih baik pada musim akan datang," jelas Aidil kepada pemberita.

Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-9.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM