MPMA cadang enam inisiatif bantu industri plastik

Foto janaan AI/RTM

KUALA LUMPUR, 15 Julai Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) mengemukakan enam cadangan kepada kerajaan bagi menangani peningkatan kos bahan mentah yang terus memberi kesan kepada industri plastik tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemansuhan atau pengurangan duti import ke atas bahan mentah plastik untuk turunkan kos dan tingkatkan daya saing pengeluar tempatan.
  • Pengecualian SST 5% ke atas bahan mentah dan insentif bagi syarikat kitar semula untuk galakkan EPR secara sukarela.
  • Subsidi diesel untuk lori RORO dan sokongan pelaburan modal (mesin, acuan) bagi memperkukuh rantaian bekalan kitar semula.

Presidennya, CC Cheah berkata, MPMA mencadangkan pengurangan atau pemansuhan duti import ke atas bahan mentah plastik bagi meningkatkan daya saing pengilang tempatan.

“Masalah asas utama ialah harga bahan mentah kita lebih tinggi. Ini disebabkan terdapat duti import sebanyak 10 peratus terhadap bahan mentah yang diimport daripada pengeluar utama seperti Asia Barat dan Amerika Syarikat (AS).

“Akibatnya, harga bahan mentah plastik di Malaysia secara amnya adalah sekitar 10 peratus lebih tinggi berbanding Vietnam dan China.

“Situasi ini menyebabkan ahli-ahli kami menghadapi masalah daya saing yang ketara, dan kami berharap kerajaan dapat membantu menangani isu strategik ini,” katanya kepada RTM.

Jelasnya, antara bahan mentah utama yang diimport dari Asia Barat dan AS ialah polietilena dan polipropilena, yang digunakan secara meluas dalam pengeluaran pelbagai produk plastik.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lima peratus ke atas bahan mentah plastik, serta pelaburan modal merangkumi pembelian mesin plastik, acuan dan peralatan.

“Memandangkan sudah terdapat SST 5 peratus ke atas produk akhir, maka kami cadangkan kepada kerajaan tidak sepatutnya SST 5 peratus dikenakan ke atas bahan mentah.

“SST 5 peratus ke atas bahan mentah turut menimbulkan masalah kepada syarikat penyimpan stok. Dalam industri ini, terdapat syarikat perdagangan yang membeli bahan mentah dalam jumlah besar dan menyimpannya sebelum membekalkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya lagi.

Jelas beliau, keadaan itu boleh menjejaskan kesiapsiagaan industri apabila berlaku gangguan bekalan susulan pengilang hanya bergantung kepada stok bahan mentah yang sedia ada.

MPMA katanya turut mengemukakan cadangan penyediaan insentif bagi menggalakkan pelaksanaan Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) secara sukarela menerusi Belanjawan 2027.

Ini termasuk pengecualian SST kepada syarikat yang melabur dalam aktiviti kitar semula dan pengumpulan sisa plastik.

“Sekiranya setiap pengeluar perlu membayar 5 peratus SST bermula daripada proses pengumpulan, pengumpulan secara pukal oleh pedagang besar, pengasingan, kitar semula sehingga proses akhir oleh pengitar semula, kos tersebut akan terkumpul dan menyebabkan harga bahan kitar semula menjadi lebih tinggi,” katanya lagi.

Selain itu, MPMA turut mencadangan lori roll-on roll-off (RORO) yang digunakan untuk mengumpul bahan kitar semula diberikan kelayakan menerima subsidi diesel bagi mengurangkan kos operasi dan memperkukuh rantaian bekalan bahan kitar semula.

Jelasnya, kesemua cadangan berkenaan telah diusulkan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam pertemuan yang berlangsung pagi tadi.

Tambahnya, MPMA komited untuk bekerjasama rapat dan mengadakan sesi libat urus susulan dengan kementerian terlibat bagi memastikan kelangsungan operasi pemain industri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.