Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

Foto RTM

KOTA BHARU, 15 Julai – Seorang lelaki maut selepas dihempap sebatang pokok pulai yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Petani, Kota Bharu, Kelantan, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa, Sauti Mohamad, 55, menunggang motosikal bersendirian dan disahkan meninggal di lokasi akibat kecederaan parah.
  • Saksi Aziz Ismail terdengar dentuman kuat, nampak pokok tumbang melintang jalan, mangsa terbaring dan motosikal terbalik.
  • Orang ramai dan pemandu jentolak membantu alihkan pokok, mengangkat mangsa ke tepi dan menghubungi pihak polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Sauti Mohamad, 55, yang menunggang motosikal bersendirian, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Saksi kejadian, Aziz Ismail, 48, berkata ketika kejadian beliau berada di kawasan berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebatang pokok tumbang melintang jalan.

Katanya, beliau kemudian menghampiri lokasi kejadian dan mendapati mangsa terbaring berhampiran pokok yang tumbang, manakala motosikal yang ditunggang mangsa turut terbalik di lokasi berkenaan.

“Saya ternampak mangsa terbaring di sebelah pokok tumbang. Saya juga melihat sebuah motosikal yang terbalik, lalu mengangkat motosikal itu ke tepi jalan.

“Saya kemudian ternampak sebuah jentolak melalui kawasan itu dan meminta pemandunya membantu mengalihkan pokok yang melintang di jalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai turut membantu mengalihkan mangsa ke tepi jalan sebelum menghubungi pihak polis.

Aziz berkata, beliau bernasib baik kerana pokok itu tumbang hanya beberapa meter di hadapannya, ketika ribut dan hujan lebat melanda kawasan tersebut.

Sementara itu, anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Bella, 30, berkata beliau mengetahui kejadian itu selepas dihubungi sepupunya.

Katanya, ketika kejadian, bapa saudaranya dalam perjalanan pulang ke rumah di Pantai Senok, Bachok, selepas tamat waktu bekerja di sebuah syarikat di Pengkalan Chepa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.