Terbuka Jepun: Jimmy-Su Yun cipta kejutan tewaskan pasangan ranking ke-14 dunia

Jimmy Wong-Cheng Su Yin cipta kejutan pada Kejohanan Terbuka Jepun 2026. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin cipta kejutan pada kejohanan Terbuka Jepun 2026 apabila menewaskan pasangan nombor 14 dunia, sekali gus mara ke pusingan kedua pada Rabu..

RINGKASAN BERITA AI
  • Jimmy Wong-Cheng Su Yin menang 21-19, 11-21, 21-19 dalam perlawanan sengit selama satu jam.
  • Jimmy Wong-Cheng Su Yin akan berdepan pilihan keenam Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue buat kali pertama.
  • Goh Soon Huat-Lai Shevon menang 21-13, 22-20 dalam 33 minit dan kini dijadualkan menentang beregu China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Gandingan yang menghuni ranking ke-118 dunia itu menundukkan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara, 21-19, 11-21, 21-19, dalam pertarungan sengit yang berlanjutan selama satu jam.

Pada pusingan kedua, pasangan negara itu bakal berdepan cabaran lebih getir apabila dijadualkan menentang pilihan keenam dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, buat julung kali.

Turut mara ke pusingan kedua, pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie yang hanya mengambil masa 33 minit untuk mengenepikan cabaran wakil Amerika Syarikat, Zhi Yi Chen-Francesca Corbett, 21-13, 22-20.

Cabaran lebih besar menanti Soon Huat-Lai Shevon apabila mereka dijadualkan berdepan beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Sementara itu, cabaran pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa berakhir selepas gagal menandingi kehebatan wakil Korea Selatan, Kim Ga Eun dengan kekalahan 16-21, 12-21, dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit. – Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.