Pengarah Bahagian Pusat Siaran dan Kawalan Rangkaian Multi Channel RTM bersara selepas 32 tahun tabur bakti

Pengarah Bahagian Pusat Siaran dan Kawalan Rangkaian Multi Channel RTM, Ismail Seman bersara selepas 32 tahun berkhidmat – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Pengarah Bahagian Pusat Siaran dan Kawalan Rangkaian Multi Channel, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ismail Seman menamatkan perkhidmatannya hari ini selepas 32 tahun menabur bakti dalam industri penyiaran negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memainkan peranan penting dalam transformasi RTM daripada penyiaran analog kepada digital.
  • Dipilih sebagai jurutera pentauliah bagi siaran Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998; atasi cabaran integrasi audio dan video, terima pujian antarabangsa.
  • Terlibat sebagai jurutera pelopor memperkenalkan sistem penyiaran digital; terima latihan khusus di IPTAR dan luar negara.
  • Transformasi teknologi membawa automasi konti radio, sistem playlist, peralihan televisyen daripada SD ke HD dan menuju era 4K.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat di beberapa Jabatan Penyiaran Negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta menjadi antara individu yang memainkan peranan penting dalam transformasi teknologi penyiaran RTM daripada sistem analog kepada digital.

Ismail memulakan kerjaya di RTM sebagai Jurutera Penyiaran di Kelantan selama tiga tahun sebelum dipindahkan ke Angkasapuri sebagai Jurutera Projek Radio selama sembilan tahun.

Antara detik paling bermakna sepanjang perkhidmatannya apabila dipilih sebagai jurutera pentauliah bagi sistem penyiaran sempena Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Peluang itu memberi pengalaman yang amat berharga kerana ketika itu semua peralatan yang digunakan merupakan teknologi baharu dan RTM mula memperkenalkan sistem penyiaran digital bagi menggantikan sistem analog. Kami menggunakan teknologi terkini untuk melaksanakan liputan siaran langsung serta rakaman sepanjang temasya tersebut,” katanya.

Ismail berkata, cabaran terbesar ketika kejohanan berkenaan ialah mengintegrasikan sistem audio dan video yang berbeza sehingga hampir menjejaskan penyediaan siaran langsung.

Bagaimanapun, hasil kerjasama erat pasukan jurutera RTM, operasi penyiaran berjaya dilaksanakan dengan lancar sehingga menerima pengiktirafan serta pujian di peringkat antarabangsa.

Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat, beliau turut menyaksikan evolusi pesat teknologi penyiaran RTM, bermula daripada penggunaan pita rakaman, pemain cakera padat (CD), cartridge dan audiogram kepada sistem digital berasaskan komputer serta fail digital.

“Saya juga dipilih sebagai antara jurutera pelopor yang bertanggungjawab memperkenalkan sistem penyiaran digital di RTM. Kami diberikan latihan khusus di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) serta di luar negara sebagai persediaan melaksanakan transformasi teknologi tersebut.

“Bermula dari situ, RTM beralih kepada penyiaran digital apabila operasi konti tidak lagi bergantung kepada pita rakaman, pemain CD dan peralatan konvensional, sebaliknya menggunakan komputer atau workstation,” katanya kepada media selepas sesi Lambaian Kasih Clock-Out sempena hari terakhir beliau berkhidmat.

Tambah Ismail, transformasi tersebut membolehkan operasi konti radio dijalankan secara automatik menerusi penggunaan komputer dan sistem playlist, sebelum teknologi penyiaran televisyen berkembang daripada definisi standard (SD) kepada definisi tinggi (HD), dan kini menuju era penyiaran 4K.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.