
PARIS, 15 Julai – Negara-negara Eropah menunjukkan pendekatan berbeza terhadap isu bantuan kematian (assisted dying), ketika Perancis dijangka meluluskan rang undang-undang berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.
- Terdapat dua bentuk utama: eutanasia oleh doktor dan bantuan kematian di mana pesakit dibantu mengakhiri hidup sendiri.
- Belanda, Belgium dan Luxembourg menglegalkan eutanasia dengan kawalan ketat; Belgium benarkan kanak-kanak memohon sejak 2014.
- Beberapa negara berbeza: Switzerland membenarkan bantuan melalui pertubuhan, Sepanyol luluskan undang-undang 2021, manakala pelaksanaan di Itali, Slovenia dan Portugal masih digantung.
Secara umum, terdapat dua bentuk utama yang dibincangkan iaitu ‘eutanasia’ apabila doktor menamatkan hayat pesakit atas permintaan dan bantuan kematian, di mana pesakit dibantu untuk menamatkan hayat sendiri.
Belanda dan Belgium antara perintis dalam melaksanakan eutanasia secara sah sejak 2002 dengan kawalan ketat.
Di Belanda, keputusan perlu disahkan oleh doktor dan pakar bebas bahawa pesakit mengalami penderitaan tanpa harapan sembuh. Peraturan itu diperluas pada 2023 melibatkan kanak-kanak bawah 12 tahun.
Belgium pula melangkah lebih jauh apabila membenarkan kanak-kanak dari semua peringkat umur yang menghidap penyakit terminal memohon eutanasia sejak 2014.
Luxembourg turut menyahjenayahkan eutanasia dan bantuan kematian pada 2009.
Switzerland menjadi destinasi pilihan bagi individu yang ingin mendapatkan bantuan kematian, kerana negara itu membenarkan amalan tersebut selagi tidak didorong motif kepentingan peribadi.
Proses itu biasanya dikendalikan oleh pertubuhan khas.
Sepanyol pula meluluskan undang-undang pada 2021 yang membenarkan eutanasia dan bantuan kematian, namun dengan syarat ketat termasuk permohonan bertulis, pengesahan semula dan kelulusan jawatankuasa penilaian.
Dalam perkembangan lain, Slovenia dan Portugal masing-masing pernah meluluskan undang-undang berkaitan, namun pelaksanaannya digantung selepas bantahan rakyat dan keputusan mahkamah.
Di Itali, mahkamah perlembagaan pada 2019 menetapkan syarat bagi bantuan kematian, namun ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan pelaksanaannya masih terhad.
Wilayah Tuscany menjadi yang pertama memperkenalkan peraturan sendiri, namun langkah itu mendapat tentangan kerajaan pusat.
Sementara itu, United Kingdom dijangka kembali membahaskan isu tersebut pada September ini selepas rang undang-undang sebelum ini gagal diluluskan.
Beberapa wilayah autonomi seperti Jersey dan Isle of Man telah meluluskan perundangan berkaitan, namun masih menunggu pengesahan rasmi.
Perdebatan berterusan ini mencerminkan perbezaan pandangan masyarakat Eropah terhadap isu etika, undang-undang dan hak individu dalam menentukan pengakhiran hidup mereka.-AFP