KUALA LUMPUR, 14 Disember- Kejohanan Badminton Tertutup Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2024 yang memasuki edisi ketiga menjadi platform untuk memperkasa penglibatan kakitangan dalam amalan gaya hidup sihat terutama melalui aktiviti sukan.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknikal RTM, Ismail Sulaiman berkata penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menyokong aktiviti sihat, tetapi turut mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan RTM Angkasapuri dan RTM negeri.
"Yang penting sekali ialah untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan RTM Angkasapuri dan juga RTM negeri-negeri. Dengan anjuran sukan ini, kita dapat bertemu, bersosial dan saling mengenali antara satu sama lain," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pertandingan Badminton Tertutup RTM 2024 di Pusat Rekreasi RTM, Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan penyertaan 38 regu lelaki dan 16 regu wanita, menonjolkan semangat kesukanan serta persahabatan dalam kalangan peserta.
Ismail turut memaklumkan bahawa Kelab Sukan Rekreasi RTM bercadang menganjurkan lebih banyak acara sukan pada masa akan datang.
"Perancangan akan datang, kelab sukan rekreasi juga bercadang untuk menganjurkan sukan lain seperti boling. Kita juga akan meneruskan penganjuran sukan badminton untuk masa akan datang," katanya lagi.
Kejohanan itu dijangka terus menjadi acara tahunan yang mampu memupuk kerjasama dan kesejahteraan kakitangan RTM di seluruh negara.