
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pendekatan politik yang menggadaikan kepercayaan rakyat demi kemenangan bukan dalam kamus strategi Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
- PKR menyeru seluruh jentera PH dan PKR kekal fokus, berdisiplin serta bekerja dengan penuh iltizam mempertahankan mandat di Negeri Sembilan.
- PRN Negeri Sembilan dianggap pentas demokrasi untuk menawarkan dasar, rekod perkhidmatan dan kepimpinan terbaik kepada rakyat.
- PKR menilai sebarang keputusan politik negeri berdasarkan kepentingan dan aspirasi rakyat Negeri Sembilan menjelang PRN 2026.
- Fokus utama PKR ialah kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi, kos sara hidup, pembangunan seimbang serta tadbir urus telus dan berintegriti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menerusi hantaran Facebook menegaskan, agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat terus dilaksanakan dengan berkesan berteraskan paksi serta tunjang utama mendasari setiap langkah politik PH dan PKR.
“Seluruh jentera PH dan PKR diseru supaya kekal fokus, berdisiplin dan bekerja dengan penuh iltizam untuk meraih keyakinan rakyat serta mempertahankan mandat di Negeri Sembilan.
“PRN Negeri Sembilan merupakan pentas demokrasi untuk parti-parti menawarkan dasar, rekod perkhidmatan dan kepimpinan terbaik kepada rakyat,” menurut hantaran itu.
Menurut Datuk Dr Fuziah, PKR mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan persefahaman dan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
PKR kekal dengan pendirian sebarang keputusan politik di peringkat negeri sentiasa dinilai berdasarkan kepentingan serta aspirasi rakyat Negeri Sembilan.
PH dan PKR juga menghormati hak setiap parti untuk menentukan pendekatan dan strategi masing-masing dalam menghadapi pilihan raya.
“Sehubungan itu, PKR kekal fokus memperjuangkan isu-isu kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi, kos sara hidup, pembangunan seimbang serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.
“Agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan berkesan ialah paksi serta tunjang utama mendasari setiap langkah politik kami,” tambah kenyataan itu.