
IPOH, 18 Julai – Bermula 10 pagi esok, Dewan Sri Perdana di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Tanjung Rambutan dekat sini, bakal bergema dengan semangat patriotik sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026).
- Perasmian MPBKKJG 2026 oleh Perdana Menteri, termasuk penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan TLDM, nyanyian Negaraku dan bacaan Ikrar Rukun Negara.
- Majlis diadakan secara tertutup tetapi disiarkan langsung menerusi RTM, Bernama, Merdeka360, Kementerian Komunikasi dan JAPEN.
- Pelbagai program sepanjang bulan termasuk Larian Patriot, kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, Kembara Bahasa dan sambutan kemuncak 31 Ogos.
Majlis itu menjadi pembuka tirai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026) yang bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada majlis berkenaan, Anwar dijadual menyampaikan ucapan pelancaran sebelum menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan sembilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai simbolik perasmian.
Pasukan itu kemudian akan menaikkan Jalur Gemilang berukuran 1.82 meter meter lebar dan 3.65 meter panjang dengan diiringi nyanyian lagu Negaraku, sebelum diteruskan dengan bacaan Ikrar Rukun Negara.
Upacara menaikkan Jalur Gemilang kembali menjadi antara pengisian utama majlis tahun ini selepas tidak dilaksanakan sejak dua tahun lepas berikutan kekangan lokasi.
Sebelum itu, lagu tema HKHM 2026 yang dinyanyikan penyanyi tersohor tanah air, yang juga pencipta lagu berkenaan, akan dilancarkan.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan khas medley lagu patriotik oleh pasukan koir ILKKM SAS yang dianggotai kira-kira 200 pelatih institut berkenaan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
Turut dijadual hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Berbeza daripada penganjuran sebelum ini, MPBKKJG 2026 diadakan secara tertutup dengan konsep sederhana.
Bagaimanapun, orang ramai masih berpeluang mengikuti siaran langsung menerusi platform media sosial Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Merdeka360, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
Pada sebelah pagi, Larian Patriot Merdeka yang disertai kira-kira 2,000 peserta turut diadakan dengan acara pelepasan dijangka disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Pelbagai pengisian menarik dirancang sepanjang bulan sambutan, termasuk program interaktif bersama komuniti menerusi kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
Kempen itu melibatkan sembilan kluster, iaitu industri, pendidikan, keselamatan, kesihatan, agensi kerajaan, pendidikan tinggi dan komuniti, selain dua kluster baharu membabitkan rumah ibadat serta sukan.
Turut dirancang ialah Kembara Bahasa Hari Kebangsaan dan RIUH Merdeka di bawah Program Kira Detik, sebelum kemuncak Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.
Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan pula dijadual diadakan di Sarawak pada 16 Sept.
Rakyat Malaysia turut diseru menzahirkan semangat patriotisme menerusi media sosial, antaranya dengan menggunakan Jalur Gemilang sebagai gambar profil dan berkongsi kandungan berkaitan sambutan Bulan Kebangsaan.
Mereka juga digalakkan menggunakan tanda pagar #HKHM2026, #MalaysiaMADANI, #KesejahteraanDinikmati dan #Merdeka360 dalam perkongsian masing-masing.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dipilih bagi sambutan HKHM 2026, manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan hingga tahun hadapan. – BERNAMA