
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pertandingan Senam Seni 2.0 berjaya menggabungkan elemen seni, budaya dan kecergasan menerusi penyertaan 22 kumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Program anjuran MOTAC melalui JKKN bersama KPM bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, memperkasa seni dan budaya serta menyemai perpaduan generasi muda.
- Setiap pasukan mempersembahkan rutin gabungan tarian, muzik dan kecergasan dinilai berdasarkan kreativiti koreografi, penyampaian dan semangat berpasukan.
- Senam Seni memperkukuh identiti budaya dan mengeratkan perpaduan antara pelajar pelbagai kaum menurut pengarah JKKN.
- SK Convent (1) Bukit Nanas juara menerusi kumpulan Aerotrix turut menang Anugerah Kostum dan Koreografi, SK Kiaramas tempat kedua.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu berlangsung di Amfiteater, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.
Penganjuran julung kali di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, memperkasa seni dan budaya serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Setiap pasukan mempersembahkan rutin senaman yang menggabungkan elemen tarian, muzik dan kecergasan sebelum dinilai berdasarkan kreativiti koreografi, penyampaian serta semangat berpasukan.

Pengarah JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul ’Ein Mohamad Azmi berkata, Senam Seni bukan sekadar aktiviti kecergasan, malah menjadi medium memperkukuh identiti budaya dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.
“Melalui pertandingan seperti ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuhkan identiti budaya, malah menyemarakkan aktiviti seni dan budaya di peringkat negeri serta sekolah.
“Pada masa sama, kita dapat melihat semangat kerjasama dan perpaduan yang terjalin dalam kalangan pelajar Melayu, Cina dan India sepanjang penyediaan persembahan,” katanya.
Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (1) Bukit Nanas muncul juara menerusi kumpulan Aerotrix dengan persembahan bertajuk Harmoni Senam Seni Malaysia.
Selain muncul juara, sekolah itu turut meraih Anugerah Kostum Terbaik dan Anugerah Koreografi Terbaik.
Tempat kedua pula dimenangi SK Kiaramas menerusi kumpulan Atma Kirana dengan persembahan bertajuk Rentak Warisan Irama Generasi.
Koreografer SK Convent (1) Bukit Nanas, Aniq Irfanshahmil S. Shaffari berkata, beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul juara memandangkan persiapan dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Menurutnya, latihan hanya bermula pada Rabu lalu sebelum koreografi disiapkan dalam tempoh dua hari dan diperkemaskan sehari sebelum pertandingan.
“Kami hanya fokus untuk memberikan persembahan terbaik dan menyerahkan sepenuhnya kepada juri untuk membuat penilaian. Alhamdulillah, segala usaha berbaloi,” katanya.
Sementara itu, peserta sekolah berkenaan, Adelia Zahra Ahmad Fauzi menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil kerjasama erat seluruh pasukan walaupun latihan dijalankan dalam tempoh yang singkat.
“Saya rasa sangat gembira dan teruja kerana tidak sangka kami dapat bekerjasama dengan begitu baik sehingga berjaya menjadi juara,” katanya.
Penganjuran Senam Seni 2.0 diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak peringkat sebagai platform memperkasa seni dan budaya, menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.