Protokol eksport durian ke China perlu dipatuhi pemain industri

Industri durian antara subsektor agromakanan bernilai tinggi negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Semua pemain industri durian disaran untuk terus mematuhi syarat dan Protokol Keperluan Fitosanitari bagi pengeksportan durian segar ke China yang sedang berkuat kuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pematuhan protokol yang dipersetujui dengan GACC perlu dipertahankan untuk memastikan akses pasaran China terus dikekalkan.
  • Tiada pelaksanaan kaedah baharu secara unilateral tanpa kelulusan rasmi kerana boleh menjejaskan syarikat dan keseluruhan industri durian negara.
  • China kekal destinasi eksport terbesar, menjadikan durian antara subsektor agromakanan bernilai tinggi negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin menerusi kenyataan menyeru pihak terlibat agar tidak mengambil sebarang pendekatan yang berada di luar skop protokol atau belum mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa.

“Pematuhan kepada protokol yang dipersetujui antara Kerajaan Malaysia dan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) amat penting bagi memastikan akses pasaran China yang diperoleh hasil rundingan bertahun-tahun terus dikekalkan.

“Kita tidak boleh mengambil risiko yang boleh menjejaskan keyakinan pihak berkuasa China kepada sistem kawal selia Malaysia.

“Apa-apa kaedah baharu yang belum dipersetujui atau tidak selaras dengan protokol sedia ada tidak seharusnya dilaksanakan secara unilateral kerana implikasinya bukan sahaja kepada syarikat terbabit, malah boleh menjejaskan keseluruhan industri durian negara,”menurutnya.

Kenyataan dikeluarkan sempena Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Industri Durian Mengenai Cadangan Pre-Cut Durian Eksport ke China yang dipengerusikannya di Wisma Tani, pada Jumaat lepas.

Katanya lagi, industri durian antara subsektor agromakanan bernilai tinggi negara yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan.

Pada 2025, Malaysia merekodkan eksport durian bernilai RM1.10 bilion melibatkan 45,266 tan metrik ke pasaran global.

China kekal sebagai destinasi eksport terbesar dengan nilai RM868.09 juta, iaitu hampir 79 peratus daripada keseluruhan nilai eksport durian negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.