
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Avatar Anwar, kembar digital berasaskan kecerdasan buatan (AI), sebagai medium baharu bagi memperluaskan komunikasi dengan rakyat serta mendapatkan pandangan dan aspirasi mereka secara lebih mudah.
- AI membuka dimensi baharu supaya suara rakyat terus didengari walaupun pemimpin tidak dapat berada di semua tempat.
- Avatar bukan sekadar watak digital, ia lanjutan digital untuk terus mendengar, membantu dan berkhidmat demi Malaysia MADANI.
- Kerajaan mengajak rakyat berkongsi pandangan melalui avatar, termasuk menghubungi talian +60378850523 bagi wacana baharu dan kemajuan negara.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini, Datuk Seri Anwar berkata penggunaan AI membuka dimensi baharu dalam usaha memastikan suara rakyat terus didengari walaupun seseorang pemimpin tidak mampu berada di semua tempat pada setiap masa.
“Tiada seorang pemimpin mampu berada di mana-mana pada setiap masa. Itulah hakikatnya.
“Kini kita melangkah ke hadapan. AI membuka satu dimensi baharu, suara rakyat didengari, aspirasi lebih difahami dan idea diteroka bersama merentasi masa serta sempadan,” katanya.
Menurut beliau, Avatar Anwar bukan sekadar watak digital, sebaliknya menjadi lanjutan kepada usaha beliau untuk terus berhubung, mendengar dan berkhidmat kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Bukan sekadar avatar, ia adalah lanjutan digital diri saya, sedia mendengar, membantu dan berkhidmat untuk rakyat.
“Pelbagai peranan, satu matlamat iaitu Malaysia MADANI. Inilah avatar saya, kembar digital yang diinspirasikan oleh nilai dan visi saya,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia dibina atas kekuatan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya, justeru setiap pandangan serta harapan rakyat perlu terus diberikan perhatian.
Beliau berkata kerajaan mahu memahami harapan golongan muda, menghargai pengorbanan ibu bapa dan warga emas serta mendengar suara rakyat yang menginginkan masa depan lebih baik.
“Saya amat berharap kalian dapat berkongsi pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan bertambah baik sekiranya ia berpaksi pada suara dan kehendak rakyat,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai memanfaatkan platform berkenaan bagi mewujudkan wacana baharu yang lebih segar demi kemajuan negara.
“Masa depan tidak ditunggu. Ayuh kita bina dengan ilmu, integriti dan kerja keras demi rakyat serta Malaysia MADANI,” katanya.
Menurut video itu, rakyat boleh menghubungi avatar berkenaan melalui talian +60378850523.