Iran serang loji utiliti Kuwait

Sebuah loji jana kuasa terbakar di Kuwait. Foto/AFP

KUWAIT CITY, 18 Julai – Iran dilapor melancarkan satu lagi serangan ke atas loji jana kuasa dan penyahgaraman air di Kuwait pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Elektrik dan Air melaporkan kebakaran pada salah satu komponen loji elektrik dan penyahgaraman akibat serangan.
  • Ini merupakan serangan kedua dalam tempoh dua hari selepas insiden Jumaat yang mengakibatkan kebakaran dan kerosakan loji.
  • Perkhidmatan Bomba berkata kebakaran berlaku di dua lokasi; beberapa anggota bomba dan seorang pekerja dilaporkan cedera.
  • Di Bahrain, sistem pertahanan udara memintas beberapa serangan; tentera Iran mendakwa menyerang pangkalan udara yang digunakan Amerika Syarikat.

Kementerian Elektrik dan Air Kuwait dalam satu kenyataan memaklumkan, sebuah lagi loji elektrik dan penyahgaraman air menjadi sasaran serangan yang mencetuskan kebakaran pada salah satu komponen kemudahan berkenaan.

Ia merupakan serangan kedua terhadap loji utiliti negara itu dalam tempoh dua hari, selepas serangan pada Jumaat menyebabkan kebakaran dan kerosakan di sebuah lagi loji.

Perkhidmatan Bomba Kuwait memaklumkan, serangan Iran pada Sabtu turut mencetuskan kebakaran di dua lokasi, mengakibatkan beberapa anggota bomba dan seorang pekerja cedera.

Sementara itu, syarikat penerbangan kebangsaan Kuwait memaklumkan kebanyakan penerbangannya dijadualkan semula selepas operasi ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait digantung sementara susulan serangan roket dan dron.

Di Bahrain pula, pihak tentera memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya mematahkan gelombang serangan Iran.

Menurut kenyataan tentera Bahrain, sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkan beberapa serangan udara yang dilancarkan Iran.

Terdahulu, tentera Iran mendakwa telah menyerang sebuah pangkalan udara di Bahrain yang digunakan oleh Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap serangan Washington.

Serangan dron tersebut menyasarkan kawasan perlindungan pesawat, tempat letak pesawat, tangki simpanan bahan api milik tentera Amerika Syarikat di Pangkalan Udara Sheikh Isa, selain beberapa jambatan penghubung di Bahrain. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.