BIRMINGHAM, 14 Mac-Dua beregu negara meneruskan aksi konsisten apabila melangkah ke suku akhir All England di sini.
Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai menjadi wakil pertama negara mengesahkan tempat ke pusingan lapan terbaik.
Pasangan suami isteri, Soon Huat-Shevon membuktikan status mereka sebagai pilihan utama apabila mudah singkirkan beregu Scotland, Alexander Dunn-Julie MacPherson.
Mereka hanya memerlukan 25 minit untuk melakar kemenangan 21-9, 21-10 pada aksi di Arena Utilita, di sini.
Soon Huat-Shevon dijadual berdepan laluan sukar apabila bertemu pasangan nombor satu China, Jiang Zhen Bang-Huang Dong Ping malam ini.
Mengikuti jejak mereka adalah beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Pasangan berkenaan mengetepikan cabaran pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk menempah tiket ke suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua malam tadi, Pearly-Thinaah menang dengan keputusan 21-16, 21-14 dalam tempoh 42 minit.
Ia sekali gus memperbaiki pencapaian mereka tahun lalu yang sekadar berakhir di pusingan kedua.
Menanti mereka di suku akhir adalah beregu nombor tiga dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Bagaimanapun,nasib berbeza buat beregu lelaki, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani yang terkandas di pusingan kedua.
Turun selaku pilihan kedua, Sze Fei-Izzuddin gagal menandingi kepantasan gandingan Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Wakil Korea Selatan itu hanya memerlukan 36 minit untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-16, 21-13.