fb fb fb fb fb

Joohari Ariffin puas hati dengan penerimaan masyarakat Sungai Bakap

Calon PH, Joohari Ariffin (tengah) beramah mesra dengan komuniti di Perkampungan Sungai Kechil hari ini

NIBONG TEBAL, 23 Jun- Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berpuas hati dengan penerimaan masyarakat pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

Joohari yang merupakan anak tempatan Sungai Bakap berkata, kehadirannya di beberapa kawasan sepanjang berkempen diterima baik oleh mereka.

"Setakat ini, kerjasama dan sambutan yang ditunjukkan oleh kumpulan sasar cukup baik. Ini menambah keyakinan saya untuk terus berkempen, melayani dan menyantuni masyarakat.

"Saya sudah melakukan lawatan ke kawasan-kawasan yang didiami oleh pelbagai kaum, dan saya gembira dengan sambutan mereka yang senang hati menerima kehadiran kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama komuniti di Perkampungan Sungai Kechil di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Joohari merupakan calon yang berwibawa serta berpengalaman bagi mewakili suara penduduk Sungai Bakap.

"Jika Joohari diberi kepercayaan, maka saya percaya dasar yang diamalkan di peringkat negeri akan dilangsungkan di peringkat DUN. (Yang mana) kita tak pernah mengasing-asingkan sebarang bantuan tidak kira agama dan bangsa," katanya ketika turut hadir pada sesi ramah mesra itu.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PH dan Perikatan Nasional (PN) dengan mempunyai 39,279 pemilih berdaftar.

2306 CALON PENERIMAAN KAUM 2
Calon PH, Joohari Ariffin dan Chow Kon Yeow

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA