KOTA KINABALU, 17 November - Penyertaan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti diyakini mampu memperkukuh pelaksanaan tuntutan hak negeri, termasuk mempercepat isu pemberian 40 peratus hasil Sabah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas menghadiri program Majlis Minum Petang Bersama Pemimpin PH bersama calon Api-Api, Thonny Chee.
“Jika Tony Chee terpilih dan beberapa ADUN Pakatan Harapan turut dipilih lalu kami menyertai kerajaan negeri, saya percaya penglibatan kami akan menjadi jauh lebih efektif kerana wujud keserasian antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Hubungan harmoni ini penting untuk memastikan Sabah memperoleh manfaat besar daripada komitmen Putrajaya, termasuk pemberian khas RM600 juta, jumlah tertinggi dalam sejarah," katanya.
Datuk Seri Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PH menegaskan keserasian pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan memastikan tuntutan hak Sabah dilaksanakan secara lebih berkesan, selain menyokong penyelarasan pembangunan negeri yang lebih mantap.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Saifuddin menekankan kementeriannya memberi keutamaan penuh kepada keselamatan nyawa dan harta benda pengundi sepanjang tempoh kempen hingga hari pengundian.
Katanya, PRN Sabah berlangsung ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa risiko hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan panas yang dikenal pasti pihak berkuasa.
“Pengundi perlu mengutamakan keselamatan nyawa dan harta benda. Jika berlaku banjir, beri kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan yang berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi. Pada masa sama, pastikan kehadiran dalam majlis-majlis kempen dilakukan dengan rasa selamat," katanya.
Beliau berkata, langkah keselamatan seperti pengaktifan sistem amaran awal, siren kecemasan serta pemantauan cerun berisiko tinggi telah dilaksanakan. Laporan penuh mengenai persediaan menghadapi monsun turut dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
KDN menempatkan hampir 10,000 anggota keselamatan, termasuk Polis Diraja Malaysia, di lokasi strategik seluruh Sabah bagi memastikan tahap kesiapsiagaan optimum.
Orang ramai turut diminta memberi kerjasama sekiranya berlaku banjir, khususnya dalam operasi menyelamat yang melibatkan polis, bomba dan agensi berkaitan.