MEMBAKUT, 18 November- Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perbincangan itu diharap dapat menjernihkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan kedudukan parti berkenaan dalam gabungan tersebut.
“Jika terdapat sebarang salah faham atau perkara yang perlu diperjelaskan dan diselesaikan, adalah lebih baik kita membawanya ke meja rundingan bersama-sama agar persahabatan yang telah lama terjalin tidak terjejas begitu sahaja.”
Kontroversi mengenai masa depan MIC dalam BN timbul selepas para perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 di Shah Alam baru-baru ini sebulat suara menyokong resolusi untuk meninggalkan gabungan itu.