fb fb fb fb fb

PRN Sabah : SPR keluarkan 22,881 kertas undi pos

Daftar pemilih diingatkan jaga kerahsiaan undi / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 19 November - Suruhanjaya Pilihan Raya, (SPR) mengeluarkan 22,881 kertas undi pos kepada daftar pemilih yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan, daripada angka itu, 21,362 kertas undi pos bagi Kategori 1A dikeluarkan bagi petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

"Bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) melibatkan 336 kertas undi pos dan 1,183 kertas undi pos bagi Kategori 1C (agensi dan organisasi),"katanya menerusi kenyataan.

Pengeluaran kertas undi pos dilaksana dengan kehadiran ejen undi pos daripada parti atau individu yang bertanding.

SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos agar membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dan mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan berkenaan, sebelum pukul 5.00 petang, 29 November ini (Sabtu).

Semua daftar pemilih turut diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman sosial.

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal, 25 November ini.

FAUZIAH ABD RAHMAN