fb fb fb fb fb

GRS tekad jadi kerajaan adil dan saksama, fokus pembangunan Sabah

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor/ BERNAMA

BEAUFORT, 19 November - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tekad menjadi sebuah kerajaan yang adil dan saksama, selaras dengan prinsip yang diperjuangkan gabungan sejak lima tahun lalu.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan pimpinannya telah membuktikan kemampuan mentadbir melalui pencapaian ketara dalam pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat serta kesaksamaan dalam agihan bantuan tanpa mengira kaum dan agama.

Prinsip keadilan tersebut terkandung dalam empat teras agenda GRS 'Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United', yang menjadi asas kepada manifesto pilihan raya GRS.

"GRS telah menunjukkan keupayaan dan kemampuan memerintah negeri Sabah selama lima tahun, kita telah berjaya membangunkan negeri Sabah dengan pelbagai inisiatif dan juga pembangunan.

"Juga untuk membantu membela rakyat kita di seluruh Sabah tanpa mengira keturunan suku kaum dan kepercayaan mereka. GRS adalah satu kerajaan yang adil kerajaan yang benar-benar mahu membangunkan Sabah ini", katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Bersama Rakyat Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Klias dan DUN Lumadan di Dewan Bagandang, Beaufort.

Datuk Seri Hajiji turut mengumumkan hasrat membantu warga emas secara lebih menyeluruh, sekiranya GRS kembali membentuk kerajaan.

Turut hadir, calon GRS Klias Datuk Isnin Aliasnih, calon GRS Lumadan Datuk Ruslan Muharam, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musa dan Ketua Wanita GRS Datuk Azizah Dun.

ROSLINA BINTI DIN