KOTA KINABALU, 20 November - Tahap kesiapsiagaan jentera Pakatan Harapan (PH) di DUN Merotai berada pada tahap tinggi selepas berjaya menembusi semua daerah mengundi dalam tempoh empat hari berkempen.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejayaan itu membolehkan jentera mengenal pasti sentimen pengundi dan melaksanakan program susulan secara lebih tersusun sepanjang baki tempoh berkempen.
“Dari segi sentuhan antara Pakatan Harapan, sudah pun sampai ke semua daerah mengundi.
"Itu penting kerana jentera boleh membantu calon menemui pemilih,” katanya ketika ditemui selepas Program Malam Santai Belia Merotai di Dewan Terbuka Merotai Besar, disini.
Beliau turut memaklumkan pelbagai gerak kerja telah dilaksanakan jentera parti termasuk kunjungan rumah ke rumah, ceramah kelompok dan program santai anak muda bagi memastikan penglibatan pengundi di semua peringkat.
Sementara itu, beliau turut menaruh keyakinan terhadap kemampuan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN berkenaan, Datuk Ruji Ubi untuk memenangi kerusi berkenaan.
Jelas beliau, faktor anak jati kawasan berkenaan menjadi kelebihan buat Datuk Ruji Ubi selain berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Beliau ditentang calon daripada Parti Warisan, Sarifuddin Hata, calon Perikatan Nasional, Hasan Haris serta Rhyme@Reymie Kassim daripada Parti Impian Sabah (PIS).
Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 November manakala hari pengundian 29 November.