fb fb fb fb fb

PRN Sabah: Manifesto BN fokus usaha memajukan semula negeri

FOTO RTM

PAPAR, 21 November - Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dibentangkan pada Sabtu bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memperincikan usaha untuk membangunkan semula negeri tersebut.

Antara melibatkan masalah air, jalan raya dan elektrik yang membelenggu negeri itu sejak sekian lama.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto tersebut turut memberi fokus kepada aspek pelaburan, perumahan, belia dan pelancongan.

"Jadi dalam manifesto itu disebut bagaimanakah kaedah-kaedah supaya pengangguran di Sabah ini dikurangkan kerana satu daripada lima penganggur itu berada di Sabah.

"Kaedahnya ialah melalui ekosistem pendidikan baharu iaitu dengan cara TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) kerana secara kebetulan saya juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

"Insya-Allah pendidikan TVET ini akan ditekankan di Sabah ini dan kita mahu anak-anak Sabah ini biarlah bekerja di Sabah dan kita wujudkan industri melalui pelaburan yang akan dibawa ke Sabah ini, mudah-mudahan mereka dapat membantu keluarga yang ada di Sabah," katanya kepada media selepas Program Sentuhan Kasih Desa @ Papar di Kinarut.

Jelasnya, manifesto yang akan dibentangkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu telah disiapkan sebelum hari penamaan calon.

"Walaupun telah disiapkan sebelum penamaan calon tetapi daripada segi masanya adalah cukup baik kerana hari Sabtu akan memberikan liputan media yang lebih baik untuk media cetak dan untuk siaran berita utama pada malam minggu," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM