fb fb fb fb fb

29 November jadi penentu kebangkitan sokongan peneroka Felda

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan orang ramai pada Program Pemuafakatan Komuniti Felda Wilayah Sahabat di Dataran Expo Felda Wilayah Sahabat, Lahad Datu / BERNAMA

LAHAD DATU, 25 November - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tarikh 29 November sebagai detik penting yang bakal menjadi 'game changer' kepada warga peneroka Felda, khususnya di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk melihat perubahan besar berlaku dalam kalangan pengundi Felda, selepas sebahagian kawasan peneroka tidak bersama kerajaan pada pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, Felda memiliki 317 kawasan peneroka di seluruh negara, dan Felda Sahabat kini menjadi simbol kebangkitan semula sokongan warga peneroka terhadap kerajaan.

“Oleh kerana kesinambungan ini penting bagi pengundi di Lahad Datu sama ada di Tunku, Silam atau Kunak, kita perlu membuktikannya, bukan sekadar bernostalgia tetapi menunjukkan bahawa kita bersama dengan establishment," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Permuafakatan Komuniti Felda Wilayah Sahabat di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Zahid turut mengimbau kembali pengalamannya ketika Operasi Lahad Datu sewaktu memegang portfolio Menteri Pertahanan, sambil menegaskan bahawa mempertahankan setiap inci bumi Sabah adalah tanggungjawab bersama bukan hanya dipikul tentera dan polis, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan pentadbiran yang stabil, khususnya kepada pengundi di Tunku, Silam dan Kunak, sambil menyatakan keyakinan terhadap tiga calon yang diketengahkan Barisan Nasional di kawasan tersebut.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid optimis sokongan kuat rakyat akan membawa kejayaan pada 29 November ini, sekali gus menjadi ujian penting kepada BN pada pilihan raya kali ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE