fb fb fb fb fb

GRS lancar manifesto PRN Sabah Ke-17, garis 16 strategi pembangunan komprehensif

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 17 November - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang menjadi deklarasi akujanji, komitmen serta perancangan strategik gabungan itu kepada rakyat menjelang pengundian pada 29 November.

Manifesto yang disempurnakan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor itu membawa tema “Rumah Kita, Kita Jaga – Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan”, selaras usaha kerajaan negeri membangunkan Sabah berpandukan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Manifesto tersebut menampilkan satu gagasan, empat rukun dan 16 strategi pembangunan komprehensif yang menjadi landasan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Empat tunjang utama perjuangan GRS yang turut menjadi asas manifesto ialah Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Yang Bersatu).

“Berteraskan asas ini, kita jadikan ia sebagai tunjang manifesto untuk membawa Sabah ke mercu kejayaan pada masa akan datang. Kita bertekad untuk menyempurnakan segala yang terkandung dalam manifesto, merangkumi semua aspek pembangunan strategik selaras dasar yang menjadi tonggak negeri, termasuk pembangunan ekonomi, infrastruktur dan keselamatan," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pelancaran Manifesto GRS bagi PRN Sabah Ke-17 pada Isnin.

GRS menegaskan komitmen dan tekad untuk melaksanakan sepenuhnya semua janji yang digariskan dalam manifesto tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE