fb fb fb fb fb

PRK Sungai Bakap: Pengalaman sebagai guru, senjata Dr Joohari pikat orang muda

Calon PH, Dr Joohari Ariffin turun padang turun padang ke Medan Selera BK bagi bertemu pengundi

NIBONG TEBAL, 23 Jun- Pengalaman sebagai seorang guru akan digunakan sebaiknya bagi mendekati golongan muda.

Itu antara pendekatan yang akan digunakan Calon PH N20 Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin bagi memenangi hati mereka.

Mengakui tidak mudah berikutan jurang umur, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Joohari akan terus berusaha meyakinkan generasi itu dan dekati mereka dengan ilmu.

Menerusi kapasiti sebagai calon Perpaduan, masyarakat setempat terutamanya anak muda akan faham segala kebajikan dan bantuan akan mudah diterima sekiranya berada selari dengan Kerajaan Persekutuan.

"Orang tua nak mendekati orang muda bukan senang tetapi saya masih beruntung kerana saya ada ramai pelajar saya yang masih muda. Saya rasa itu satu kelebihan seorang guru jadi calon.

"Pendekatan lain yang kita boleh buat ialah saya sudah minta supaya semua pihak mendekati orang muda sebab ini kita panggil sebagai pengundi kali pertama ni mmg kita kena dekati dengan ilmu, pada saya orang yang baru masuk ini kalau dia yakin dengan sesuatu dia boleh kekal lagi untuk dua atau tiga penggal undi yang sama,"katanya.

Terdahulu beliau yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara hadir pada program Ramah Mesra Media Arus Perdana di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Sungai Bakap.

Beliau meluangkan masa selama sejam pada program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan komitmen untuk terus bekerja kuat dalam memastikan pengundi-pengundi kelabu dapat ditawan.

Menerusinya, masalah-masalah setempat akan terus diberi fokus bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk Sungai Bakap terjamin sekiranya diberi mandat menjadi wakil kawasan itu kelak.

Beliau turut akan berusaha memberikan maklumat tepat kepada masyarakat dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Ogos lepas, Nor Zamri menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE