
ISTANBUL, 14 Januari – USANITA Sdn. Bhd. (USANITA) bergerak aktif meneroka peluang mempromosi fesyen sopan halal (halal modest fashion – HMF) di negara-negara Islam yang mempunyai hampir 2 bilion penduduk
- USANITA aktif mempromosi fesyen sopan halal di negara Islam, menekankan ketelusan rantaian bekalan dan kepatuhan syariah.
- Inisiatif HMF memanfaatkan momentum hubungan Malaysia-Turkiye selepas lawatan rasmi Perdana Menteri.
- Potensi pasaran besar dan peluang perniagaan di Turkiye diperkukuh oleh FTA dan sasaran perdagangan dua hala.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, di Istanbul sebagai contoh, fesyen sopan halal mempunyai potensi besar yang mementingkan ketelusan rantaian bekalan merangkumi bahan mentah halal serta amalan kerja beretika dan patuh syariah.
Tambah beliau, inisiatif HMF tersebut juga dibuat bagi memanfaatkan momentum hubungan Malaysia-Turkiye melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu minggu lepas.
“Melalui kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini mahu mendapatkan maklumat sama ada pakaian mereka diperbuat daripada bahan yang halal serta tidak melibatkan perkara-perkara yang ditegah Islam termasuk penindasan dan ekploitasi pekerja,’” katanya.
Beliau menyatakannya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Ahmad Amiri Abu Bakar hari ini.
Sementara itu, menurut Datuk Adzliana, unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut sahaja mencecah AS$327 bilion pada tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028.
Dalam pada itu, Ahmad Amiri menggesa usahawan Malaysia merebut peluang untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul terutamanya berkaitan fesyen, penginapan dan penyediaan makanan Malaysia.
“Kita menyambut baik inisiatif yang diambil USANITA untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul dan yakin ia boleh dilaksanakan kerana hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara serta tanggapan positif rakyat Turkiye terhadap Malaysia,” katanya.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion) selain menjadi destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara-negara di Asia Barat.
Juster Ahmad Amiri percaya, Turkiye mempunyai potensi yang besar kepada para usahawan Malaysia terutama apabila Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa sasaran baharu perdagangan dua hala Malaysia-Turkiye sebanyak AS$10 bilion boleh dicapai dalam beberapa tahun akan datang.
Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia dan juga Turkiye juga telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang turut memudahkan proses untuk usahawan Malaysia meneroka pasaran dan melabur di Turkiye.