
SUBANG JAYA, 27 Februari – Sunway Group Bhd melihat IJM Corporation Bhd sebagai aset pelaburan yang berpotensi, sekali gus mendorong kumpulan itu mengemukakan tawaran pengambilalihan terhadap syarikat berkenaan.
- Sunway melihat IJM Corp sebagai pelaburan strategik dan mengemukakan tawaran pengambilalihan atas pertimbangan komersial.
- Tiada paksaan kepada pemegang saham; keputusan akhir bergantung pada persetujuan mereka sebelum 6 April 2026.
- Tawaran bersyarat untuk 3.51 bilion saham pada RM3.15 sesaham, dengan nilai anggaran kira-kira RM11 bilion.
Pengasas dan Pengerusinya Tan Sri Jeffery Cheah berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan komersial dan tiada unsur paksaan dalam tawaran tersebut.
Menurutnya, keputusan akhir terletak di tangan pemegang saham IJM Corp, yang diberi tempoh sehingga 6 April 2026 untuk mempertimbangkan sama ada menerima atau menolak cadangan itu.
“Kami melaksanakannya semata-mata atas pertimbangan komersial kerana melihatnya sebagai aset yang menarik untuk dimiliki, justeru kami membuat tawaran pada masa ini.
Tiada paksaan kepada pemegang saham untuk menjual kepada kami. Jika mereka memilih untuk menjual, itu baik; jika tidak, kami akan berundur dan tiada apa-apa isu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Sunway Healthcare Holdings Bhd. di sini, hari ini.
Terdahulu pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corp pada harga RM3.15 sesaham.
Berdasarkan andaian semua pemegang saham menerima tawaran berkenaan dan tiada pelarasan harga dibuat, nilai keseluruhan urus niaga dianggarkan mencecah kira-kira RM11 bilion.
Proses tawaran pengambilalihan disasar dimuktamadkan menjelang suku ketiga tahun ini.