Skim NCM sektor automotif diperhalusi, beri manfaat kepada PKS tempatan

Kerajaan mahu memastikan manfaat ekonomi daripada industri automotif turut dinikmati PKS

RAWANG, 7 Julai – Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) bagi sektor automotif, sedang diperhalusi kerajaan dalam memastikan pelaburan yang masuk ke negara ini memberi manfaat lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur mesti komited membangunkan ekosistem automotif tempatan: rantaian bekalan, penggunaan komponen tempatan dan penglibatan vendor.
  • Pelaburan asing tidak dibenarkan hanya untuk penjualan atau pemasangan; perlu pemindahan teknologi dan pengeluaran komponen tempatan.
  • Kerajaan mahu manfaat ekonomi dinikmati PKS serta mengelakkan manipulasi pengiraan kandungan tempatan; sesi libat urus sedang dijalankan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan penilaian semula itu bertujuan memastikan dasar insentif automotif negara kekal relevan dengan keperluan industri semasa.

“Tahap komitmen pelabur dalam membangunkan ekosistem automotif tempatan, termasuk rantaian bekalan, penggunaan komponen tempatan dan penglibatan vendor dalam negara, antara aspek yang diberi tumpuan.

“Mereka boleh membina kilang pemasangan, mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan komponen dalam negara serta mengeluarkan komponen di negara ini.

“Dalam masa sama, kita ambil maklum bukan semua komponen boleh dibuat secara tempatan, tetapi sebahagian besarnya perlu dilaksanakan di Malaysia. Secara tidak langsung, mereka boleh menembusi pasaran Asia,”katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rasmi MCE Auto Hub.

Beliau turut memaklumkan Malaysia mengalu-alukan kemasukan jenama automotif asing, namun pelaburan berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aktiviti penjualan kenderaan atau pemasangan semata-mata

Sebaliknya, pelabur perlu memberi komitmen untuk membangunkan rantaian bekalan tempatan termasuk penggunaan komponen buatan Malaysia, pemindahan teknologi serta penglibatan vendor tempatan.

“Kerajaan juga mahu memastikan manfaat ekonomi daripada industri automotif turut dinikmati PKS, selain mengelakkan manipulasi dalam pengiraan kandungan tempatan.

“Sesi libat urus sedang dilaksana bersama kementerian serta agensi berkaitan juga pemain industri sebelum mekanisme baharu itu dimuktamadkan, dengan pelaksanannya disasar tahun depan. Bagaimanapun, garis masa terperinci masih belum ditetapkan,”jelas Datuk Seri Johari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.