TAMCO-Hoymiles labur RM110 juta, perkukuh pembangunan industri tenaga negara

Wakil-wakil dari GMA Resources Sdn Bhd, TAMCO Switchgear (Malaysia) Sdn. Bhd, Hoymiles Power Electronics Inc dan MIDA

SHAH ALAM, 7 Julai – TAMCO Switchgear (Malaysia) Sdn. Bhd. menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penyelesaian solar dan penyimpanan tenaga global, Hoymiles, bagi membangunkan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) bernilai RM110 juta di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mewujudkan kira-kira 240 peluang pekerjaan berkemahiran, memperkukuh rantaian nilai BESS dan menyokong pembangunan tenaga bersih.
  • Kapasiti pengeluaran tahunan 400 MW akan mempercepat pemindahan teknologi, membangunkan ekosistem industri tempatan dan sokong eksport ke ASEAN.
  • TAMCO fokus pemasangan, pengujian dan pentauliahan BESS berteknologi AI; fasa pertama melibatkan sistem utiliti 5MWh dan 6MWh dengan penyejukan cecair.

Projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 240 peluang pekerjaan berkemahiran, selain mengukuhkan rantaian nilai industri penyimpanan tenaga negara dan menyokong pembangunan tenaga bersih.

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd. Karim berkata, projek itu mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 400 megawatt (MW).

Menurutnya, kerjasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa itu akan mempercepat pemindahan teknologi, membangunkan ekosistem industri tempatan serta meningkatkan penyertaan Malaysia dalam industri peralihan tenaga.

“Projek ini melibatkan pelaburan RM110 juta dengan kapasiti pengeluaran tahunan 400MW, selain mewujudkan kira-kira 240 peluang pekerjaan berkemahiran.

“Ia meliputi pemasangan BESS, integrasi sistem, Sistem Penukaran Kuasa serta infrastruktur elektrik berkaitan, sekali gus memperkukuh rantaian nilai BESS Malaysia dan menyokong eksport ke pasaran ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik TAMCO-Hoymiles BESS Solution Showcase, di sini, hari ini.

Beliau berkata projek itu juga selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan tenaga boleh baharu menyumbang 70 peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik terpasang menjelang 2050.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TAMCO Switchgear (Malaysia) Sdn. Bhd., Wong Jun Pin berkata, kerjasama itu menggabungkan kepakaran TAMCO dalam sistem suis gear arus ulang alik (AC switchgear) dengan teknologi arus terus (DC) milik Hoymiles untuk membangunkan penyelesaian penyimpanan tenaga tempatan.

Katanya, TAMCO akan memberi tumpuan kepada pemasangan tempatan, pengujian serta pentauliahan sistem penyimpanan tenaga yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kami berharap kerjasama bersama MIDA dan Hoymiles dapat meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan teknologi penyimpanan tenaga di ASEAN, di samping memperluaskan eksport produk tempatan ke pasaran serantau,” katanya.

Pada fasa pertama, TAMCO akan memasang sistem BESS berskala utiliti berkapasiti 5 megawatt-jam (MWh) dan 6MWh yang dilengkapi teknologi penyejukan cecair serta AI.

Kerjasama itu turut merangkumi integrasi sistem, pengujian, pentauliahan, penyelenggaraan, pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan inisiatif lokalisasi bagi mengukuhkan keupayaan industri BESS di Malaysia.

Projek itu dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan teknologi tenaga bersih di ASEAN, selaras dengan agenda peralihan tenaga negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.