Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama, serantau

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama dan serantau pada Isnin termasuk dolar AS berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah menjejaskan jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada September.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit melonjak 225 pip kepada 4.0585/0630 berbanding dolar AS pada 6 petang.
  • Dr Mohd Afzanizam berkata bacaan IHP dan data pekerjaan AS menjejaskan jangkaan kenaikan kadar Fed.
  • Kebarangkalian kenaikan kadar Fed pada September turun kepada 30 peratus daripada lebih 50 peratus bulan lepas.
  • Unit tempatan turut mengukuh berbanding mata wang utama dan serantau seperti yen, pound, euro, peso, baht, rupiah dan dolar Singapura.

Pada 6 petang, ringgit melonjak 225 peratusan dalam mata (pip) kepada 4.0585/0630 berbanding dolar AS daripada 4.0840/0885 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bacaan indeks harga pengguna (IHP) AS yang lebih rendah serta data pekerjaan yang lemah minggu lepas dilihat menjejaskan jangkaan terhadap potensi kenaikan kadar faedah oleh Fed bulan depan.

“Kemungkinan kepada kenaikan kadar faedah pada September telah menurun kepada 30 peratus daripada lebih 50 peratus bulan lepas. Dalam konteks itu, sentimen mengenai kenaikan kadar faedah dalam Kadar Dana Fed telah berubah, dan keadaan ini boleh memberi sokongan kepada ringgit dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

IHP AS dilaporkan meningkat 0.1 peratus pada Julai, menjadikan inflasi tahunan kepada 3.4 peratus manakala data gaji bukan perladangan menurun sebanyak 23,000 pada Julai berbanding unjuran ahli ekonomi dengan peningkatan kira-kira 80,000 pekerjaan.

Pada akhir dagangan, unit tempatan ditutup lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5496/5526 daripada 2.5660/5690 semasa ditutup Jumaat lepas dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5021/5082 daripada 5.5232/5293.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.7062/7115 daripada 4.7182/7234 sebelumnya.

Unit tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.61 daripada 6.64/6.66 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.2948/3136 daripada 12.3153/3333.

Unit tempatan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.3 daripada 229.0/229.4 semasa ditutup Jumaat lepas dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1804/1842 daripada 3.1924/1964 sebelumnya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.