Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 48 peratus kepada RM57.5 bilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM57.50 bilion bagi separuh pertama 2026, melonjak 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendapatan pelaburan suku kedua meningkat 44 peratus kepada RM29.77 bilion berbanding suku sama tahun lalu.
  • Pendapatan daripada ekuiti naik 52 peratus kepada RM20.94 bilion, menyumbang 70 peratus daripada jumlah pelaburan.
  • Disokong pasaran ekuiti global kukuh dan pelaburan jangka panjang; KWSP merealisasikan pendapatan lebih awal susulan risiko pasaran dan geopolitik.
  • KWSP kekal fokus menjana pulangan mampan dengan portfolio berdaya tahan walaupun prestasi separuh pertama mungkin tidak berulang.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, pendapatan pelaburan KWSP turut meningkat 44 peratus kepada RM29.77 bilion berbanding RM20.61 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata prestasi itu disokong pasaran ekuiti global yang kukuh, selain pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin.

“KWSP turut merealisasikan pendapatan lebih awal pada suku kedua berikutan risiko pasaran dan geopolitik yang kekal tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendapatan daripada ekuiti meningkat 52 peratus kepada RM20.94 bilion pada suku kedua, sekali gus menyumbang 70 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi tempoh berkenaan.

Katanya, prestasi itu didorong pemulihan kukuh pasaran ekuiti global, selain sentimen pelabur yang bertambah baik susulan kebimbangan terhadap harga tenaga yang semakin reda serta keyakinan terhadap kitaran super kecerdasan buatan yang kekal kukuh.

Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyumbang RM6.91 bilion atau 23 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, dengan Sekuriti Malaysia terus memberikan pulangan stabil dan berdaya tahan.

Hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan pendapatan RM1.30 bilion, manakala instrumen pasaran wang merekodkan keuntungan RM620 juta.

KWSP berkata pihaknya kekal fokus menjana pulangan mampan yang disokong portfolio berdaya tahan, meskipun peluang pasaran yang menyokong prestasi separuh pertama mungkin tidak berulang pada separuh kedua tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.