KWSP daftar 441,846 ahli baharu setakat Jun lepas

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendaftarkan 441,846 ahli baharu bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan keahliannya hampir 18.5 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah ahli aktif meningkat kepada 10.9 juta, nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41.
  • Jumlah majikan aktif meningkat kepada 645,207 selepas pendaftaran 37,265 majikan baharu.
  • Jumlah caruman meningkat 8.5 peratus kepada RM33.87 bilion pada suku kedua 2026 berbanding tahun lalu.
  • Caruman sukarela RM14.15 bilion, i-Saraan naik 15.7 peratus dan i-Topup ahli formal meningkat 13.9 peratus.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan, jumlah ahli aktif yang membuat sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan terakhir turut meningkat kepada 10.9 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41.

Dalam tempoh sama, jumlah majikan aktif meningkat kepada 645,207, susulan pendaftaran 37,265 majikan baharu.

Perkembangan itu berlaku seiring keadaan pasaran buruh negara yang bertambah baik secara sederhana, dengan kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus pada Mei 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sementara itu, jumlah caruman KWSP meningkat 8.5 peratus kepada RM33.87 bilion pada suku kedua 2026, berbanding RM31.21 bilion pada suku sama tahun lalu.

Caruman sukarela bagi enam bulan pertama tahun ini pula terus mencatat momentum positif dengan jumlah RM14.15 bilion, disokong kemudahan platform digital KWSP.

Caruman menerusi i-Saraan meningkat 15.7 peratus kepada RM1.33 bilion, manakala bilangan ahli sektor formal yang mencarum melebihi kadar berkanun menerusi i-Topup meningkat 13.9 peratus tahun ke tahun kepada hampir 204,450 ahli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.