Ringgit kukuh berbanding mata wang utama, tidak banyak berubah daripada dolar AS

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama tetapi tidak banyak berubah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan jangkaan bahawa kemungkinan untuk kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dinaikkan pada September semakin rendah, kata ahli ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar faedah AS yang berkemungkinan tidak naik menyokong mata wang pasaran membangun termasuk ringgit, menurut Ketua Ahli Ekonomi.
  • Ekonomi Malaysia dalam keadaan baik; pertumbuhan KDNK kekal tinggi dan inflasi masih terkawal.
  • IHP terkini menunjukkan inflasi keseluruhan dan teras masing-masing menyederhana kepada 1.8 peratus pada Julai.
  • Ringgit mengukuh atau meningkat berbanding beberapa mata wang besar dan serantau sepanjang dagangan awal.

Pada pukul 8.00 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.0585/0675 berbanding dolar AS daripada 4.0585/0630 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sekiranya kemungkinan kenaikan kadar faedah AS kekal rendah, keadaan itu akan menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

Bagaimanapun, beliau berkata ekonomi Malaysia kini dalam keadaan yang baik, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal tinggi manakala kadar inflasi masih terkawal.

“Data indeks harga pengguna (IHP) yang terkini menunjukkan inflasi keseluruhan dan teras, masing-masing menyederhana kepada 1.8 peratus pada Julai.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit bergerak dalam julat antara 4.06 hingga 4.08 berbanding dolar AS hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada awal dagangan, unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5471/5529 daripada 2.5496/5526 semasa ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4993/5115 daripada 5.5021/5082.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7010/7114 daripada 4.7062/7115 sebelumnya.

Unit tempatan juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1772/1845 daripada 3.1804/1842 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.2836/3175 daripada 12.2948/3136.

Unit tempatan hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.60/6.61 dan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.6 daripada 228.0/228.3 semasa ditutup semalam. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.