
PUTRAJAYA, 18 Ogos – Tiga teras utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tatakelola baik menjadi tunjang Belanjawan 2027.
- Memperkasa daya saing ekonomi melalui pelaburan berkualiti, peningkatan produktiviti dan pembangunan sektor strategik seperti semikonduktor, AI dan tenaga bersih.
- Meningkatkan mutu perkhidmatan awam, sistem pendidikan dan kesihatan serta memperluas peluang pekerjaan untuk tingkatkan pendapatan dan tangani kos sara hidup secara mampan.
- Memperbaiki peraturan, memudahcara pelaburan, perluas pendigitalan dan kurangkan birokrasi bagi meningkatkan daya saing dan kemampanan fiskal.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Belanjawan MADANI kelima itu dirangka bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam mendepani ketidaktentuan global, di samping memenuhi harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap mutu penyampaian kerajaan.
Menurutnya, tumpuan turut diberikan kepada usaha melindungi kesejahteraan rakyat dan memastikan kemampanan fiskal negara terus terpelihara.
“Belanjawan 2027 merupakan belanjawan yang mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global dan harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap penyampaian kerajaan.
“Belanjawan 2027 akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara, melindungi kesejahteraan dan melaksanakan langkah-langkah meningkatkan kemampanan fiskal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya.
Tambah beliau, bagi teras menaikkan siling, kerajaan akan memperkukuh daya saing ekonomi menerusi pelaburan berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti dan pembangunan sektor strategik.
Tumpuan akan diberikan kepada sektor semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kewangan Islam yang berupaya menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta pertumbuhan mampan.
Selain itu, kerajaan juga akan memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta syarikat pemula menerusi akses pembiayaan, pendigitalan, inovasi dan pengembangan pasaran.
Langkah itu bagi membolehkan lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan menembusi rantaian nilai global menerusi inisiatif ‘Made by Malaysia’.
Bagi teras menaikkan lantai, keutamaan diberikan kepada peningkatan mutu perkhidmatan kerajaan, pengukuhan sistem pendidikan dan kesihatan serta pembangunan modal insan.
Usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti dan menangani kos sara hidup secara bersasar serta mampan juga akan diteruskan.
Dalam aspek tatakelola baik, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerajaan akan menambah baik peraturan, memudah cara pelaburan, memperluas pendigitalan penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan kerenah birokrasi bagi meningkatkan daya saing negara.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Belanjawan 2027 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan oleh Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.