
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sederhana pada separuh kedua 2026, dengan pengukuhan aktiviti domestik terus menyokong momentum ekonomi negara.
- Aktiviti domestik berterusan menyokong momentum ekonomi, membantu pertumbuhan kekal mampan.
- Risiko global dan harga minyak tinggi boleh menekan harga barangan, makanan dan kos pengangkutan.
- Inflasi kekal di bawah dua peratus tetapi dipengaruhi subsidi, jadi tekanan harga sebenar pengguna mungkin tidak tercermin sepenuhnya.
Ketua Penyelidik Ekonomi TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar berkata, penyederhanaan itu mengambil kira faktor asas yang tinggi pada separuh kedua tahun lalu, selain pengaruh perkembangan semasa ekonomi global.
Menurutnya, keadaan itu merupakan sebahagian daripada proses normalisasi bagi membolehkan aktiviti ekonomi kembali berkembang pada kadar yang lebih mampan dan stabil.
“Untuk separuh kedua tahun ini, pertumbuhan berkemungkinan menyusut sedikit, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, namun tidak perlu khuatir kerana ia masih berada dalam julat yang bersesuaian.
“Faktor risiko masih wujud berikutan konflik yang berterusan dan harga minyak mentah dunia yang tinggi, yang akan terus mempengaruhi harga barangan, makanan dan kos pengangkutan,” katanya selepas Biz Malaysia di sini.
Sementara itu, mengulas kadar inflasi Malaysia yang kekal di bawah dua peratus, beliau berkata keadaan itu tidak semestinya menggambarkan sepenuhnya tekanan harga yang dirasai pengguna.
Katanya, sebahagian harga barangan dan perkhidmatan masih dipengaruhi mekanisme subsidi kerajaan, yang membantu menyerap sebarang tekanan harga dan mengekalkan kuasa beli rakyat.
“Kadar inflasi Malaysia banyak dipengaruhi oleh elemen subsidi. Sebagai contoh, harga bahan api yang dibayar pengguna masih berada pada paras bersubsidi, termasuk RM1.99 seliter, selain subsidi bagi barangan seperti gula dan minyak masak.
”Faktor-faktor ini membantu mengekalkan kadar inflasi pada paras yang lebih rendah berbanding keadaan sekiranya harga ditentukan sepenuhnya oleh mekanisme pasaran,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan memaklumkan, inflasi Malaysia susut kepada 1.8 peratus pada Julai 2026 berbanding 1.9 peratus pada Jun.
Bagaimanapun, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.1 mata pada Julai daripada 134.7 setahun sebelumnya.
Menurut DOSM, kumpulan pengangkutan mendorong peningkatan tersebut, walaupun kadar inflasinya menyederhana kepada 1.4 peratus pada Julai daripada 2.8 peratus pada Jun.