
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Portal Cadangan Belanjawan 2027 dan Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 dilancarkan Kementerian Kewangan (MOF) menjelang pembentangan, pada 9 Oktober ini.
- MOF mengalu-alukan pandangan rakyat, komuniti perniagaan dan pemegang taruh bagi memperhalusi penyediaan Belanjawan 2027.
- Belanjawan bertemakan Malaysia MADANI menekankan Ekonomi MADANI, ekonomi bernilai tambah tinggi dan keadilan sosial untuk semua lapisan masyarakat.
- Siri libat urus, mesyuarat kumpulan fokus dan jelajah Belanjawan akan diadakan untuk menyantuni dan mendapatkan input di seluruh wilayah negara.
Kenyataan MOF menyebut bagi memperhalusi penyediaan Belanjawan 2027, kementerian sangat mengalu-alukan pandangan rakyat, komuniti perniagaan serta pemegang taruh.
“Langkah tersebut bertujuan memastikan dokumen belanjawan negara lebih menyeluruh dan memenuhi keperluan rakyat di segenap pelosok negara.
“Setakat ini, hampir 400 peserta merangkumi agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa telah memberi pandangan serta mengemukakan cadangan.
“Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan MADANI kelima itu bakal meneruskan penekanan kepada kerangka Ekonomi MADANI ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi, di samping menegakkan keadilan sosial bagi segenap lapisan masyarakat,”menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Belanjawan 2027 perlu menyambut suara rakyat serta memenuhi harapan dengan usaha merancakkan pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
”Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat, justeru Kerajaan MADANI sedia mengutamakan harapan serta menangani isu keresahan rakyat demi melindungi kesejahteraan keluarga.
“Kita harus mendengar suara daripada segenap lapisan masyarakat supaya kemajuan negara tidak hanya terlihat pada angka, tetapi benar-benar dirasai rakyat di seluruh pelosok negara,”kata Datuk Seri Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan MOF selepas mempengerusikan Majlis Libat Urus Belanjawan 2027.
Majlis libat urus itu merupakan permulaan kepada siri mesyuarat kumpulan fokus yang akan dilaksanakan bagi memperhalusi cadangan daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat.
Pada masa sama, MOF akan turut mengadakan siri jelajah Belanjawan 2027 bagi menyantuni rakyat serta pemegang kepentingan di serata wilayah dan negeri.