
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara perlu memanfaatkan strategi ‘China Plus One’ bagi memperkukuh kedudukan dalam penstrukturan semula rantaian bekalan global, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
- Bukti keupayaan kepada pelabur global melalui kualiti, kebolehpercayaan, kepantasan, bakat dan kepercayaan bagi menarik pelaburan antarabangsa.
- PMKS perlu memenuhi piawaian antarabangsa termasuk standard teknikal, penghantaran, perlindungan data dan harta intelek.
- Tadbir urus korporat serta pengukuran prestasi alam sekitar dan sosial penting untuk menembusi rantaian nilai global dan sokongan pembiayaan.
Beliau berkata, peluang berkenaan bukan sesuatu yang akan diperoleh secara automatik, sebaliknya Malaysia perlu membuktikan keupayaan untuk menjadi pilihan pelabur dan syarikat antarabangsa menerusi aspek kualiti, kebolehpercayaan, kepantasan dan bakat.
“Strategi ‘China Plus One’ bukanlah satu kelebihan yang akan diperoleh ASEAN secara automatik. Malaysia perlu berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya menerusi kualiti, kebolehpercayaan, kepantasan, bakat dan kepercayaan.
“Melalui integrasi rantaian bekalan yang strategik, kita secara aktif membuka laluan kepada PMKS yang berkeupayaan untuk mengambil bahagian dalam rantaian nilai global,” katanya ketika berucap pada Forum PKS 2026 di sini, hari ini.
Datuk Mohd Shahar berkata, PMKS yang mahu menjadi pembekal kepada syarikat multinasional perlu bersedia memenuhi piawaian dan tuntutan pasaran global, termasuk dari segi standard teknikal, penghantaran, perlindungan data serta harta intelek.
Selain itu, katanya, aspek tadbir urus korporat serta keupayaan menjejaki dan menunjukkan prestasi alam sekitar dan sosial juga semakin penting untuk membolehkan syarikat tempatan menembusi rantaian bekalan global.
“Cabaran itu bukan halangan yang diwujudkan untuk menyekat perusahaan kecil daripada memasuki pasaran, sebaliknya menjadi peluang untuk memasuki pasaran global yang bernilai lebih tinggi,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperluas penyertaan PMKS dalam rantaian nilai global itu selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meningkatkan skala dan keupayaan firma tempatan.
Sasaran nasional adalah meningkatkan bahagian firma bersaiz sederhana daripada 1.8 peratus kepada lima peratus pada 2030, sekali gus memperkukuh sumbangan PMKS kepada lebih 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
“Matlamatnya bukan untuk menjadikan setiap perusahaan kecil sebagai konglomerat gergasi. Sebaliknya, kita mahu memastikan setiap perusahaan yang berdaya maju dan gigih mempunyai laluan yang adil serta disokong pembiayaan yang mencukupi untuk berkembang menjadi lebih berkeupayaan, lebih terhubung dan lebih bernilai,” katanya.
Pendekatan itu juga selari dengan penekanan RMK13 terhadap peningkatan produktiviti, pengembangan jaringan perdagangan global serta pembangunan industri bernilai tambah tinggi bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara.