10 bidang jadi tumpuan utama Belanjawan 2027

Belanjawan 2027 akan membawa Malaysia lebih dekat dalam merealisasikan sepenuhnya visi Ekonomi MADANI

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Rangka Belanjawan 2027 menumpukan 10 bidang tumpuan utama dengan memastikan setiap dasar serta peruntukan memberi manfaat dan memenuhi keperluan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan rakyat: ringankan kos sara hidup, tingkatkan pendapatan, sediakan pekerjaan berkualiti dan kehidupan lebih bermaruah.
  • Perkukuh perlindungan sosial dan subsidi; semak semula KWSP, PERKESO, termasuk pekerja gig dan sektor tidak formal.
  • Perkasa pendidikan, TVET, STEM, digital dan AI; tingkatkan akses kesihatan serta kurangkan kesesakan fasiliti.
  • Galak pelaburan berteknologi tinggi, sokong usahawan tempatan, jamin keselamatan tenaga, makanan serta pertahanan siber.

Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) menyebut, rakyat menjadi keutamaan merentas kesemua bidang khususnya bagi memastikan kemajuan ekonomi dirasai secara lebih menyeluruh.

“Usaha itu meliputi langkah meringankan beban kos sara hidup, meningkatkan pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti serta menjamin kehidupan yang lebih bermaruah.

“Antara bidang tumpuan adalah keadilan sosial dan pembangunan untuk semua, khususnya dalam mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah termasuk Sabah, Sarawak, kawasan desa dan pedalaman, selain memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, belia, wanita serta komuniti rentan,”menurut kenyataan berkenaan.

Tambah MOF, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha melindungi rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup menerusi penambahbaikan subsidi dan bantuan sosial.

“Ini termasuk menilai beban isi rumah melibatkan keperluan makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.

“Selain itu, perlindungan sosial bagi keluarga yang terjejas juga akan terus diperkukuh dengan menilai semula perlindungan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan skim berkaitan, termasuk untuk pekerja gig serta sektor tidak formal, selain membuat persediaan menghadapi status negara tua menjelang 2030.

“Dalam masa sama, kerajaan juga akan memperkasa pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas rakyat melalui reformasi penguasaan literasi dan numerasi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), STEM, digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Langkah berkenaan turut meliputi usaha mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan dan meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan asas yang berkualiti,”kata MOF.

Jelas kementerian, perbelanjaan awam memberikan nilai faedah terbaik kepada rakyat juga dijadikan fokus bagi memastikan setiap perbelanjaan lebih berorientasikan hasil, selain usaha mengurangkan ketirisan dan memastikan program yang dilaksanakan benar-benar memberi impak.

“Tatakelola dan penyampaian perkhidmatan rakyat yang terbaik juga bakal diperluas menerusi GovTech, identiti digital dan penyepaduan data, selain usaha mengurangkan kerenah birokrasi.

“Kebajikan pekerja dan peningkatan tahap gaji ke arah pendapatan yang lebih bermaruah turut diberi keutamaan menerusi peluasan TVET, latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam bidang AI, serta usaha meningkatkan produktiviti bagi penyertaan wanita dalam tenaga buruh.

“Kerajaan juga akan terus memperkasa usahawan tempatan dan produk buatan Malaysia agar lebih berdaya saing, inovatif serta mampu berkembang dan menembusi pasaran ASEAN serta global.

“Dalam masa sama, pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan dan pewujudan pekerjaan bernilai tinggi turut diberi tumpuan, khususnya dalam sektor semikonduktor, AI, ekonomi digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa,”jelas kenyataan itu.

Kerajaan turut memberi perhatian kepada keterjaminan tenaga dan makanan, perubahan iklim serta keselamatan siber melalui usaha memperkukuh tenaga bersih, sektor agromakanan, kesiapsiagaan menghadapi bencana serta perlindungan daripada ancaman siber.

Kerajaan optimis Belanjawan 2027 akan membawa Malaysia lebih dekat dalam merealisasikan sepenuhnya visi Ekonomi MADANI, walaupun berdepan pelbagai cabaran domestik dan luaran.

Belanjawan 2027 bakal dibentangkan di Parlimen, 9 Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.