Ekonomi digital : Malaysia hampir capai sasaran 30 peratus KDNK

Menteri Digital, Gobind Singh Deo (tengah) ketika pelancaran aplikasi Boost SME di KL Sentral / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ekonomi digital Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan laksanakan Pelan Tindakan AI 2026-2030 dan Malaysia Digital 2030 untuk memacu transformasi digital.
  • MyDigital Corporation ditugaskan memastikan pelaksanaan dasar mencapai sasaran yang ditetapkan.
  • Fokus kini pada terjemahan teknologi kepada peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan bernilai tinggi dan manfaat kepada rakyat.
  • PKS akan diberi tumpuan AI dalam Belanjawan 2027; perlu atasi kos, kefahaman dan akses teknologi.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sasaran itu dipacu menerusi pelaksanaan beberapa dasar dan pelan strategik kerajaan, termasuk Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 serta Malaysia Digital 2030 (MD2030).

“Setakat 2025, sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada 25.5 peratus. Kita boleh dikatakan telah mencapai sasaran itu, tetapi angka itu biar saya dapat yang betul dan akan beri kepada media kemudian.

“Kementerian Digital menerusi MyDigital Corporation ditugaskan untuk memastikan kesemua yang dilancarkan itu mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi Boost SME di KL Sentral, di sini, hari ini.

Gobind berkata, kerajaan kini memberi tumpuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital bukan sekadar dipacu oleh pelaburan dan penggunaan teknologi, tetapi turut diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan bernilai tinggi dan manfaat kepada rakyat serta perniagaan.

Pada 29 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MD2030, iaitu pelan tindakan nasional bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi fokus kepada peralihan Malaysia daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi digital.

MD2030 menetapkan empat sasaran utama menjelang 2030, iaitu sumbangan ekonomi digital sebanyak 30 peratus kepada KDNK dan pewujudan 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam ekonomi digital.

Selain penjimatan RM4.5 bilion bagi sektor awam melalui pendigitalan serta 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian dari hujung ke hujung.

Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menjadi antara tumpuan Kementerian Digital dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Beliau berkata kos, kefahaman dan akses kepada teknologi merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian supaya PKS dapat menggunakan AI secara lebih meluas dan optimum.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.