Ringgit berpotensi capai paras RM3.80–RM3.90

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Ringgit berpotensi mengukuh ke paras RM3.80 hingga RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) meneruskan langkah pelonggaran dasar monetari dan menurunkan kadar faedahnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prospek ringgit banyak bergantung kepada hala tuju kadar faedah di Amerika Syarikat.
  • Sekiranya Fed menurunkan kadar faedah, ringgit berpotensi mengukuh.
  • Jika kadar faedah kekal tinggi, ringgit dijangka terus didagangkan sekitar RM4.00 berbanding dolar AS.
  • Ketidaktentuan politik tempatan dan pilihan raya negeri boleh mempengaruhi sentimen pelaburan serta aliran dana asing.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, prospek mata wang tempatan banyak bergantung kepada hala tuju kadar faedah di AS.

“Jika pengerusi baharu Fed berjaya meyakinkan pasaran untuk menurunkan kadar faedah, maka ringgit mungkin mengukuh ke sekitar paras 3.80 hingga 3.90,” katanya pada sesi taklimat Prospek Pasaran Rakuten bagi Suku Ketiga 2026 secara maya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya kadar faedah kekal tinggi, ringgit dijangka terus didagangkan sekitar RM4.00 berbanding satu dolar AS.

Dalam pada itu, beliau berkata ketidaktentuan politik tempatan berpotensi meningkatkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur dan mempengaruhi aliran dana asing.

“Elemen politik boleh meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran, seperti yang ditunjukkan oleh aliran keluar bersih dana asing, khususnya pada bulan Mei,” katanya.

Menurut beliau, tumpuan pasaran kini terarah kepada pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung di Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, yang berpotensi mempengaruhi sentimen pelaburan jangka pendek.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.