e-Derma jadi saluran mandatori permohonan kelulusan subseksyen 44(6) ACP – LHDN

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Semua permohonan baharu bagi kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) yang melibatkan Institusi atau Organisasi (IO) perlu dikemukakan secara mandatori melalui sistem e-Derma mulai 15 Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem e-Derma membolehkan permohonan sepenuhnya dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat atau hantar dokumen fizikal.
  • Pengecualian: IOT yang melantik wakil cukai masih perlu kemukakan borang manual dan dokumen sokongan buat masa ini.
  • LHDN menyediakan perkhidmatan dalam talian untuk lanjutan kelulusan, pengemukaan penyata kewangan diaudit, borang semakan kendiri dan pindaan maklumat IOT.
  • Pendigitalan dijangka meningkatkan kecekapan semakan dan kelulusan, pengurusan dokumen lebih teratur serta akses perkhidmatan lebih mudah dan fleksibel.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan langkah itu selaras usaha memperluas penyampaian perkhidmatan digital serta meningkatkan kecekapan proses semakan dan kelulusan.

Menurut LHDN, penggunaan sistem e-Derma membolehkan permohonan dibuat sepenuhnya secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat LHDN atau mengemukakan dokumen secara fizikal.

“Bagaimanapun, bagi permohonan baharu di bawah Subseksyen 44(6) ACP oleh Institusi, Organisasi atau Tabung (IOT) yang melantik wakil cukai atau ejen cukai, borang manual berserta dokumen sokongan masih perlu dikemukakan buat masa ini.

“Permohonan melalui sistem e-Derma akan diperluas kepada kategori berkenaan pada fasa seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Selain permohonan baharu, LHDN turut menyediakan kemudahan dalam talian bagi urusan lanjutan tempoh kelulusan, pengemukaan dokumen seperti Penyata Kewangan Beraudit dan Borang Semakan Kendiri serta pindaan maklumat berkaitan IOT.

Pengguna boleh mengakses perkhidmatan berkenaan menerusi portal LHDN dan MyTax dengan merujuk panduan pengisian yang disediakan.

“Pendigitalan urusan percukaian itu dijangka meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan menerusi proses semakan dan kelulusan yang lebih pantas, pengurusan dokumen lebih teratur serta akses perkhidmatan lebih mudah dan fleksibel kepada IOT,” jelas kenyataan itu.

Inisiatif berkenaan sejajar usaha berterusan LHDN memperkasa ekosistem percukaian digital lebih cekap, telus dan mesra pelanggan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.