
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Penambahbaikan kawalan harga, jaminan bekalan makanan serta peluasan sokongan kewangan termasuk pinjaman mikro dilihat antara langkah wajar dalam membantu peniaga kecil menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
- Cadangan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah dan moratorium enam bulan untuk peniaga kecil.
- Perlu pastikan bekalan domestik mencukupi bagi mengurangkan ketirisan yang menambah kos sara hidup.
- Pengurangan kadar sewa premis di bawah PBT dan MARA membantu kurangkan kos operasi dan menstabilkan harga pengguna.
Pensyarah Kanan Ekonomi UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban, Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad, berkata kawal selia harga yang lebih ketat penting bagi mengelakkan kenaikan melampau yang membebankan rakyat serta menjejaskan operasi perniagaan kecil.

Beliau berkata, jaminan bekalan domestik juga perlu dipastikan sentiasa mencukupi bagi mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan kos sara hidup.
“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan bantuan tunai yang diperluaskan serta pinjaman mikro sehingga RM10,000 dengan kadar sifar faedah dan moratorium enam bulan untuk peniaga kecil.
“Langkah ini mampu menjadi suntikan modal pusingan dan membantu mereka bertahan dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya.
Menurutnya, pengurangan kadar sewa premis di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga wajar diteruskan kerana dapat mengurangkan tekanan kos operasi sekali gus membantu menstabilkan harga kepada pengguna.