
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Malaysia kekal berada di landasan merekodkan pertumbuhan ekonomi hampir ke paras tertinggi dalam julat empat hingga lima peratus tahun ini.
- BNM mengekalkan kestabilan makroekonomi, membolehkan pembaharuan dilaksanakan dan menyokong transformasi ekonomi negara.
- Inflasi rendah dan terkawal membantu prestasi ekonomi walaupun menghadapi kejutan bekalan tenaga.
- Defisit fiskal disempitkan kepada 3.7 peratus KDNK pada 2025, mencerminkan pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inflasi yang kekal terurus merupakan antara faktor yang menyokong prestasi tersebut walau berdepan kejutan bekalan tenaga.
“Sebagai bank pusat negara, BNM telah memainkan peranannya dengan mengekalkan kestabilan makroekonomi yang membolehkan pembaharuan dilaksana.
“Inflasi yang rendah dan stabil, sistem kewangan yang kukuh serta pasaran kewangan yang teratur telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi transformasi ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pembukaan Simposium Sasana 2026 yang berlangsung selama dua hari di Sasana Kijang, hari ini.
Tambahnya, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 5.2 peratus tahun lalu, dengan kadar inflasi yang terus terkawal, manakala ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau ini.
Mengulas mengenai kedudukan fiskal negara, beliau berkata defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, berbanding 6.2 peratus pada 2020.
Ia sekali gus mencerminkan pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan.