
PUTRAJAYA, 28 Julai – Usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan menangani isu struktur gaji akan diberi keutamaan sebelum meluaskan asas cukai.
- Kerajaan menghormati cadangan OECD untuk reformasi cukai termasuk meluaskan asas cukai pendapatan dan memperkenalkan semula cukai penggunaan.
- Pendekatan percukaian perlu mengambil kira keupayaan rakyat serta tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
- Isu gaji masih masalah struktur; persoalan sama ada peluasan SST mencukupi untuk meningkatkan hasil kerajaan.
- OECD mencadangkan pengurangan subsidi bahan api berperingkat, perlindungan golongan rentan, dan sasaran: defisit 3% menjelang 2028 serta hutang bawah 60% KDNK.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu mengambil kira kedudukan semasa apabila hanya kira-kira 15 peratus tenaga kerja negara kini berada dalam lingkungan bersih cukai pendapatan individu.
“Isunya adalah (perlu) Malaysia terus menumpukan kepada keupayaan meningkatkan pendapatan terlebih dahulu. Mungkin ada pandangan mengenai kaedah percukaian yang lebih efisien, tetapi kita juga perlu melihat ruang untuk meningkatkan pendapatan rakyat terlebih dahulu.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Tinjauan ekonomi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Akmal Nasrullah berkata kerajaan menghormati pandangan OECD yang mencadangkan reformasi sistem percukaian termasuk memperluas asas cukai pendapatan dan memperkenalkan semula cukai penggunaan secara meluas.
Bagaimanapun, katanya, isu utama ketika ini ialah memastikan kedudukan pendapatan rakyat diperkukuh terlebih dahulu kerana kemampuan membayar cukai turut berkait rapat dengan tahap gaji.
Mengulas sama ada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mencukupi untuk meningkatkan hasil kerajaan serta mencapai sasaran konsolidasi fiskal, Akmal Nasrullah berkata, isu gaji masih merupakan masalah struktur yang perlu diberi keutamaan.
Jelasnya, sebarang pendekatan percukaian perlu mengambil kira keupayaan rakyat serta tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi sedia ada.
“Kita kena lebih berani mendepani isu gaji yang sememangnya masih menjadi satu masalah struktur kerana isu untuk melebarkan cukai adalah berkait dengan kemampuan gaji itu sendiri untuk membayar cukai pendapatan.”
Sementara itu, Pengarah Kajian Negara OECD, Dr Luiz de Mello berkata laporan berkenaan mengenal pasti beberapa pilihan dari sudut perbelanjaan dan hasil kerajaan bagi membantu Malaysia mencapai sasaran konsolidasi fiskal.
OECD turut menyentuh mengenai pengurangan subsidi bahan api secara berperingkat dengan memastikan golongan rentan terus dilindungi.
Katanya, Malaysia menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2028 serta menstabilkan hutang kerajaan bawah 60 peratus KDNK dalam jangka panjang.